Saturday, November 24, 2007

adakah aku mampu milikinya....

Alhamdulillah sekali lagi ana masih diberikan peluang untuk merasai nikmat hari Jumaat iaitu sayyidul ayyam yang mana akan melabuhkan tirainya lebih kurang dalam masa lima belas minit lagi. Agak sudah lama menyepikan diri dari dunia blog ini kerana disibukkan dengan kesibukkan duniawi sehingga melupakan perkara yang lebih penting dari perkara yang penting. Kemungkinan selepas menulis blog ini, ana akan meneruskan satu perjalanan yang ana tidak tahu ke manakah haluannya tetapi mengharapkan keredhaan dari Sang Pencipta iaitu Allah SWT. Mungkin selama ini hanya menuntut ilmu tentang ilmu tasawwuf dan sudah sampai masa untuk mengamalkannya dalam kehidupan sebagai khalifah yang telah dilantik sejak turun temurun lagi.


Pada hari yang penuh barakah ini telah terdetik di dalam sekeping hati ini yang telah dipinjamkan oleh Allah kepada ana tetapi untuk dijaga dengan sebetulnya dengan mendapat bantuan dari pancaindera yang lain untuk meluahkan satu tajuk yang mana tentang satu jumlah ghairu mufidah tetapi mempunyai mubtada’ dan khobarnya iaitu keluarga bahagia. Ana berminat untuk menzahirkan dua perkataan ini di dalam ruangan noteasy2bme86 kerana begitu tertarik dengan kehidupan seumpama ini yang telah dibina oleh segelintir mahasiswa dan mahasiswi kita di bumi yang penuh barakah ini iaitu Perlembahan Nil atau lebih suka ana tulis di sini dengan nama Republik Fadam Madam.

Cinta suci merupakan aset ataupun modal asas yang paling utama dalam membina keluarga bahagia berbanding pula dengan duit yang diperlukan untuk membangunkan sebuah perniagaan. Selagi cinta itu masih suci murni, selama itu nikmat berbulan madu akan terus dikecapi sepanjang berumah tangga. Semua ini akan dapat direalisasikan sekiranya mempunyai ramuan yang sebetulnya dan digaul pula dengan sebati di dalam acuan yang telah ditetapkan oleh pasangan masing-masing. Bagi ana sendiri setelah dikumpul beberapa sumber ini maka terhasillah ramuan ini. Antaranya........


PUAS HATI- Menerima pasangan dengan redha dan puas hati. Bersangka baiklah terhadap Allah SWT yang telah menentukan jodoh kita. Ingatlah, sebaik-baik perancangan adalah dari Allah dan jangan diungkit-ungkit kekurangan pasangan kita. Yakinlah bahawa tiap setiap sesuatu itu sudah ditentukan oleh Allah dan mempunyai pelbagai hikmah yang mana kita sendiri pun tidak akan memahaminya. Di sini suka ana menbawa datang hadis dari Rasulullah SAW yang bersabda maksudnya: “Janganlah seorang lelaki mukmin membenci isterinya yang beriman. Bila ada perangai yang tidak disukai, dia pasti redha (menyenangi) perangainya yang lain (kebajikan)”.


KENANG JASA, LUPAKAN KEJAHATAN- Di sini cara yang paling mudah adalah sama-sama kita hayati cerita ini iaitu sejarah yang agak popular juga iaitu apabila ada seorang lelaki ingin menemui Khalifah Sayidina Umar al-Khattab r.a. Dia ingin mengadu tentang karenah isterinya. Sampai di halaman rumah dia terdengar suara rungutan isteri Khalifah Umar. Dia berhasrat membatalkan niat asalnya, namun terhenti apabila dia dipanggil oleh Umar. “Ada apa urusan engkau hendak menemui aku?” tanya Saiyidina Umar. Jawab lelaki itu, “aku bercadang hendak mengadu karenah isteri aku, tetapi aku terdengar tuan pun mengalami perkara yang sama, inikan pula aku rakyat biasa”. Saiyidina Umar menjelaskan, “aku tetap bersabar dan berterima kasih kepadanya kerana dia banyak berbuat baik dan berjasa. Dia menjaga anak-anak aku, memasak makanan untuk aku, membersihkan pakaian aku dan membuat urusan rumah bagi pihak aku”.

Manakala isteri pula perlu mengenang jasa dan berbakti kepada suami dalam pelbagai aspek - makan, minum, pakaian, tempat tinggal, perlindungan, didikan dan tunjuk ajar.

PERKONGSIAN- Selain harta benda, ada aspek perkongsian yang tidak boleh diabaikan agar kehidupan suami isteri sentiasa meriah dan mesra walaupun telah meningkat usia. Perkongsian ini perlu dikekalkan hingga akhir hayat.

a. Perkongsian fitrah. Apa saja yang kita suka orang lain berbuat kepada kita, maka itu juga yang orang lain suka kita berbuat kepadanya. Oleh itu masing-masing mesti ada toleransi. Dengan sendirinya berlaku perkongsian. Maka kedua-dua pihak tidak terlalu menuntut hak masing-masing dan saling tuduh menuduh.

b. Perkongsian emosi. Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a boleh saja mendakwa isterinya yang merungut itu tidak memahami perasaan suami. Dia juga boleh menuduh isterinya tidak wajar merungut kerana dirinya seorang khalifah yang memikul urusan umat. Dan dia juga boleh menuntut agar dirinya dilayani dan tidak perlu melayani karenah isterinya kerana dia seorang suami. Namun beliau memilih untuk menyebut kebaikan -kebaikan isterinya kerana dia sebenarnya berkongsi perasaan dengan isterinya. Beliau dapat merasakan keperitan dan kesusahan isteri. Tentulah tidak patut kegembiraan dikongsi, manakala penderitaan ditanggung sendirian.

Suami tidak patut menuntut agar isteri memahami perasaannya sahaja dan begitu juga sebaliknya. Rumah tangga tidak ubah seperti pelayaran kapal di lautan. Tidak selamanya lautan tenang atau tidak selamanya bergelora. Dalam satu kapal mana mungkin tidak mengalami tenang dan gelora bersama. Ketika suami pulang dengan bahang kemarahan maka isteri letakkan dirinya sebagai air yang dingin, demikian sebaliknya. Suami keletihan dan kelesuan kerana urusan di luar rumah.
Pada waktu yang sama isteri juga penat dengan urusan rumah dan anak-anak. Kalau demikian ertinya sama-sama keletihan atau sama-sama berkongsi kepenatan. Lantaran itulah Saiyidina Umar menunjukkan contoh betapa beliau memahami emosi isterinya. Suami sedia mendengar rintihan isteri dan berkongsi rasa.

c. Perkongsian jiwa. Rasulullah SAW masih mengenang dan menyebut nama Siti Khadijah walaupun isterinya sudah lama wafat. Di mana letaknya keistimewaan Siti Khadijah? Rasulullah SAW mengalami beban jiwa yang berat setelah menerima wahyu yang pertama. Bukankah baginda adalah seorang rasul yang Allah SWT bekalkan dengan jiwa yang kuat?

Namun beban wahyu itu lebih berat berbanding kemampuan jiwanya. Siti Khadijah r. ha telah memberi ‘input’ yang besar kepada jiwa baginda sehingga baginda pulih seperti sediakala. Siti Khadijah yang memberi peransang, suntikan semangat dan pertolongan. Dalam konteks kehidupan Rasulullah SAW dan Siti Khadijah itu tentu ada proses timbal balik yang hebat antara keduanya. Tentulah tidak dinafikan peranan Rasulullah SAW sebagai seorang suami dalam mendidik Siti Khadijah sebagai isteri. Namun ada saat-saat tertentu yang sumbangan isteri tidak dinafikan begitu sahaja terutama dalam pengisian jiwa.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesiapa berkahwin maka dia telah melindungi separuh agamanya. Oleh itu hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam memelihara yang separuh lagi.” (Riwayat al-Hakim.).
Sabda Rasulullah ini membuktikan bahawa perkongsian jiwa itu sebenarnya memelihara sebahagian daripada agama. Masing-masing sandar-menyandar, saling teguh-memperteguh, pendorong dan benteng kekuatan jiwa. Sekian