Monday, November 15, 2010

silat warisan teringgi kita.....jom berbangga..

Pada tahun 1973, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato' Syed Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya. Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong. Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan seni beladiri Jeet Kune Do. Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong.

Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu. Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, TETAPI jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia. Kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee.

Sebelum daripada itu, pada tahun 1972, serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee. Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato' Meor Abdul Rahman di Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato' Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut. Kemudian, Dato' Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.


Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato' Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato' Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato' Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut.

Sebaik sahaja melihat Dato' Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan(Kipas Nandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee. Pukulan tangan Dato' Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato' Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut.

Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya. Tidak lama selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato' Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu. Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.)

Thursday, November 4, 2010

pengakhiran zaman semakin dekat

Alhamdulillah saya panjatkan ke hadrat ilahi kerana masih lagi diberi semangat untuk menulis di jalan Allah SWT walaupun sudah agak lama menyepikan diri setelah sekian lama tidak membiarkan jari - jemari ini menari di ruangan 'keyboard' komputer. Walaupun peranan dakwah berkurangan dari segi curahan kata-kata kepada masyarakat, diharapkan dengan kembali menulis ini dapat meringan sedikit bebanan di hati ini yang terlalu memikirkan perasaan bersalah kerana kurangya peranan sebagai seorang khalifah di muka bumi ini sedangkan telah diamanahkan untuk beribadat dan menghambakan diri padaNYA disamping berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran..

Kali ini terdetik di hati ini untuk membiarkan jari bekerjasama dengan hati dan otak terutamanya fikiran ini dalam berkongsi dengan para pembaca yang menziarahi blog ini secara langsung ataupun tidak langsung tentang hadis-hadis nabi tentang peristiwa akhir zaman. Semestinya saya sendiri tergolong dalam golongan ini lebih-lebih lagi bumi ini sudah terlalu lama berpaksi pada putarannya yang mana setiap hari telah banyak perubahan yang berlaku pada isinya lebih-lebih lagi kita sebagai manusia..

Hadis yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca sekalian adalah tentang peristiwa akhir zaman yang telah disabdakan oleh junjungan kita nabi Muhammad SAW dalam hadis tentang akan berlakunya di suatu zaman ekonomi akan meningkat, kaum perempuan bekerja dan kemudahan alat tulis yang berleluasa. Hadis itu berbunyi yang beerti "Daripada Abdullah Bin Mas'ud r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : "Sesungguhnya apabila kiamat sudah akhir tiba (1) orang akan hanya memberi salam kepada orang yang dikenali sahaja, (2) perniagaan akan bertambah maju, sehingga orang perempuan membantu suaminya berniaga, (3) banyak orang memutuskan silaturrahim(hubungan kekeluargaan, (4) banyak saksi palsu, (5) orang suka menyembunyikan penyaksian yang benar, (6) dan akan banyak kemudahan alat tulis" .

Apa yang saya dapat kongsikan dengan sekalian tentang hadis di atas bahawasanya di akhir zaman ini iaitu zaman yang kita tengah lalui ini orang hanya akan memberi salam pada sahabat yang dikenali sahaja bukan seperti yang dituntut dalam agama Islam supaya kita mengucapkan salam kepada semua orang Islam sama ada yang kita kenali atau yang kita tidak kenali. Keadaan ini menunjukkan bahawa hubungan kemesraan di kalangan kaum muslimin sudah amat berkurangan.

Begitu pula cara hidup akhir zaman iaitu zaman kita semestinya yang mana mendorong kaum perempuan untuk bekerja di luar rumah , terutama dalam perniagaan. Perempuan dijadikan daya tarikan pelanggan atau disebabkan kos kehidupan yang sangat tinggi sekarang sehingga gaji suami tidak cukup untuk memenuhi keseluruhan keperluan keluarga maka terpaksa la isteri juga bekerja. Maka keadaan ini akan mengakibatkan kerengganan hubungan kekeluargaan. Isteri tidak lagi taat kepada suami kerana dia juga memiliki wang dan mungkin lebih banyak daripada wang suaminya. Manakala anak-anak pula menjadi mangsa kehilangan kasih sayang ibubapa kerana mereka hanya menyerahkan pada orang gaji atau lebih dikenali di negara kita 'bibik'..

Selain itu, junjungan kita bersabda pada akhir zaman nanti akan wujud kecanggihan alat tulis, bahan cetak dan media massa. Kalau boleh rasanya tidak salah kalau saya katakan melalui jari saya ini bahawa akhir zaman yang nabi SAW maksudkan ialah zaman yang kita tengah tempuhi ini. Alat-alat ini semestinya digunakan untuk mengangkat martabat manusia namun apa yang berlau ialah sebaliknya. Segala alat-alat canggih pada zaman ini digunakan untuk pembohongan dan memutarbelitkan kenyataan dan mencemarkan martabat insan itu sendiri.

Nampaknya mata saya ini merayu-rayu pada hati saya untuk minta dilelapkan bersama anggota yang lain, jadi terpaksalah menamatkan perjalan pendek ini dengan menyimpulkan kepada para pembaca blog ini terutamanya bahawa berhati-hatilah dengan hidup yang penuh mencabar ini dengan tidak memutuskan hubungan silaturrahim sesama muslim dan pastikan lah apabila kita berkahwin nanti isu isteri bekerja tidak menjadi punca anak-anak terabai dan tidak mendapat perhatian kasih sayang kita sendiri dan tidak diberi pendikan agama yang sedalam-dalamnya kepada mereka kerana ilmu yang paling awal yang wajib dipelajari adalah mengenal Allah SWT dan semestinya terkandung dalam ilmu Tauhid..Semoga kita tergolong dalam golongan ini..aammiin..