Thursday, September 13, 2007

kemuliaan bahasa arab

Untuk pengetahuan diri ana dan diri kita semua bahasa Arab mempunyai kelebihan berbanding bahasa-bahasa lain. Sesiapa mempelajarinya atau mengajarkannya kepada orang lain, maka pahalalah balasannya. Sebab, Allah SWT menurunkan al- Quran dalam bahasa Arab. Oleh kerana itu, sesiapa yang mempelajarinya, dia boleh memahami zahir al-Quran dan makna hadis Rasulullah SAW.

Ibnu Buraidah meriwayatkan dari Umar RA bahawa beliau berkata: "Sesiapa yang belajar bahasa Parsi maka dia telah menipu dan siapa menipu, hilanglah harga dirinya."

Al-Zuhri menegaskan, "Bahasa penghuni syurga adalah bahasa Arab dan bahasa penghuni neraka adalah bahasa Hindustan."

Diriwayatkan pula dari Umar RA bahawa beliau berkata: "Hendaklah kamu memahami bahasa Arab.

Hasan al-Bashri pernah ditanya tentang orang yang mempelajari bahasa Arab supaya dapat bercakap baik dan memahami bacaannya. Al-Hasan menjawab: "Biarlah dia mempelajarinya. Sebab, ada orang yang membaca ayat dan menyimpang dari maksudnya hingga bacaannya rosak." Umar RA mendengar dua orang lelaki pada masa tawaf bercakap tidak dengan bahasa Arab. Kemudian beliau berkata kepada kedua-duanya: "Berusahalah kamu mempelajari bahasa Arab."

Di sini, ana ingin mengatakan bahawa tidak berdosa bercakap dengan bahasa selain dari bahasa Arab. Rasulullah SAW juga bercakap menggunakan bahasa Parsi. Sufyan juga menyatakan bahawa orang ramai bercakap sesama mereka pada hari kiamat sebelum masuk ke syurga dengan bahasa Suryani tetapi setelah masuk syurga mereka bercakap dengan bahasa arab.

Jadi, jelaslah bagi kita semua tentang kelebihan bahasa Arab itu sendiri, banyak faedahnya yang akan kita perolehi sekiranya mempelajari bahasa Arab. Ana juga ingin menyatakan di sini bahawa bahasa Arab merupakan bahasa yang mempunyai kemuliaan berbanding dengan bahasa lain.

Wednesday, September 5, 2007

kewajipan menuntut ilmu..

Sebagaimana yang kita tahu, saban tahun semakin ramai pelajar-pelajar dari malaysia datang ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran mereka di Universiti Azhar dalam pelbagai bidang agama seperti kuliah Bahasa Arab, Syariah, Usuluddin, Pengajian Islam Dan Bahasa Arab, Qiraat dan juga tidak lupa kepada pelajar-pelajar perubatan yang membanjiri ardul kinanah ini dan yang menghiasi dunia ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah di sini. Jadi, masing-masing sudah maklum dan tahu bahawa kedatangan kita di sini adalah untuk menuntut ilmu dan seharusnya kita sendiri mengetahui bahawa wajibnya menuntut ilmu bagi setiap individu yang mengaku sebagai khalifah Allah SWT di dunia ini yang semakin hari semakin berusia.

Kita semua sudah sedia maklum bahawasanya menuntut ilmu adalah wajib atas tiap-tiap orang Islam, tidak mengira lelaki ataupun perempuan, sesuai dengan kadar yang diperlukan seseorang sama ada dalam urusan dunianya atau urusan agamanya. Ia mesti mengetahui hukum hakam wudhuk, sembahyang dan hal-hal lain yang berkaitan dengan kehidupannya.
Adapun yang selain itu tidak wajib. Namun, jika ia mempelajari hal-hal yang selain itu tentulah lebih baik dan jika ia meninggalkannya maka tidaklah sampai berdosa. Menuntut ilmu yang diperlukan adalah wajib hukumnya kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Maka bertanyalah kepada orang yang berilmu (ulama' ilmuan) jika kamu tidak mengetahui. " ( surah al-Nahl: 43)

Abdullah Bin Mas'ud RA berkata : "Tuntutlah ilmu sebelum ia dicabut dengan meninggalnya para ulama'. Tuntutlah ilmu sebab di antara kamu tidak akan mengetahui apakah kelak ia memerlukannya."

Selepas itu orang ramai bercakap tentang mencari tambahan ilmu. Sesetengah daripada mereka mengatakan bahawa apabila memang menuntut ilmu sekadar yang diperlukannya, wajarlah ia mengamalkannya dan tidak menuntut tambahan. Sesetengah yang lain berpandangan bahawa apabila seseorang sibuk menuntut ilmu tambahan, hal tersebut lebih baik setelah ia memenuhi kewajipan-kewajipannya. Pendapat ini lebih sahih.

Dan dalam ayat lain ada menyebut yang bermaksud: "Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu), nescaya kami bukan termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala." (surah al-Mulk: 10)
Allah SWT memberitahukan bahawa mereka menjadi penghuni neraka kerana kejahilan mereka.

Diriwayatkan daripada Ali Bin Abi Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu hukumnya wajib bagi tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan,"

Hasan al-Bashri berkata: "Termasuk amal adalah seseorang yang menuntut ilmu lalu mengajarkannya kepada orang ramai."

Abdullah Bin Abbas RA juga mengatakan bahawa menuntut ilmu sesaat pada malam hari lebih disukai Allah daripada sembahyang pada malam tersebut.

Auf bin Abdullah menceritakan seorang lelaki yang datang kepada Abu Zarr al-Ghifari, lalu berkata: "Aku mahu menuntut ilmu dan takut menyia-nyiakannya serta tidak mengamalkannya, " kata lelaki tersebut kepada Abu Zarr. "Sesungguhnya engkau lebih baik menjadi pemimpin dengan ilmu daripada menjadi pemimpin dengan kejahilan, " tegas Abu Zarr. Selepas itu lelaki tersebut pergi kepada Abu Darda dan bertanya kepadanya: "Semua manusia dibangkitkan dari kubur mereka dalam keadaan yang berlainan; orang alim dalam keadaan alim dan orang jahil dalam keadaan jahil, " Abu Darda menjelaskan. Selanjutnya ia pergi kepada Abu Hurairah untuk menanyakan hal yang sama. "Kesia-siaan yang paling penting ialah meninggalkan untuk menuntut ilmu. " jawab Abu Hurairah.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW : "Amal apakah yang paling utama? "
"Ilmu," jawab Rasulullah SAW.
Ia brtanya untuk kedua dan ketiga kalinya. Rasulullah SAW tetap menjawabnya seperti jawapan yang pertama. "Ya Rasulullah, mudah-mudahan Allah SWT memberi kesejahteraan kepadamu," kata lelaki tersebut.
"Aku bertanya kepadamu tentang amal," sahutnya lagi. "Bukankah Allah SWT tidak akan menerima amal kecuali dengan ilmu?" tegas Rasulullah SAW.

Secara keseluruhannya, bagi kita ummat Islam adalah amat penting untuk kita semua sama-sama berlumba dalam menuntut ilmu di bumi Mesir ini dan walau di mana kita berada terutamanya dalam memperdalami ilmu agama. Ana menggunakan ilmu agama di sini kerana ia adalah ilmu yang teramat penting untuk memastikan perjalanan kita sebagai khalifah Allah selamat hingga ke akhirat nanti. Ingatlah pesan dari ana, amalan yang tidak berdasarkan ilmu adalah seperti pokok yang tidak berbuah.

Monday, September 3, 2007

larangan penting..

Sepertimana yang kita tahu, kewujudan kita di atas permukaan bumi ini tidak lain dan tidak bukan untuk menjadi khalifah Allah. Jadi, Allah bukan menyuruh kita melakukan amar maaruf sahaja, bahkan mencegah kemungkaran dan beriman kepadaNya.

Di sini ana ingin memberitahu larangan yang patut kita ketahui yang mungkin agak jarang kita ketahui dan dengari dari mana-mana sumber. Lazimnya kita semua hanya menekankan suruhan Allah sahaja tetapi laranganNya kita tidak endahkan.

Antara larangan penting yang patut kita ketahui dalam rutin harian kita adalah seperti dilarang bercakap di lima tempat, yakni di belakang jenazah, ketika membaca al-Quran, ketika mendengarkan khutbah, di majlis zikir, di tempat buang air dan juga ketika bersetubuh.

Selain itu juga, dilarang mendengar lima perkara, iaitu gurau senda dan nyanyian, ratapan daripada perempuan tukang ratap, perbualan yang batil dan tidak berguna, mendengar dua orang yang saling berbisik dan mendengar perbualan di pintu orang juga merupakan larangan yang patut kita jauhi.

Larangan penting lain yang patut kita ketahui yang merupakan antara amalan ahli marifah dan orang sufi adalah dilarang melihat di lima tempat, iaitu dalam sembahyang melihat ke kanan dan ke kiri. di pintu rumah-rumah orang, melihat kepada aurat manusia di bilik mandi dan lainnya, melihat kepada orang yang di atasnya dalam urusan dunia dengan meginginkannya dan melihat kepada orang yang di bawahnya dalam urusan agama.

Dalam kehidupan kita juga, kita tidak pernah lari dari ketawa sesama kita tetapi kita patut ketahui ada juga larangan yang melarang kita ketawa di lima tempat iaitu, ketika berada di tempat jenazah, di tanah perkuburan, di rumah orang yang mendapat musibah, ketika membaca al-Quran dan ketika menyebut nama Allah SWT. Kita patut sedar, kata orang bahawa ketawa tanpa ada sebab yang lucu adalah seperti orang gila.

Antara larangan lain yang diamalkan oleh ahli sufi adalah tidak berpuasa pada lima hari berikut iaitu pada hari raya pertama Aidil Fitri dan Aidil Adha dan tiga hari sesudahnya. Dilarang juga sembahyang sunat (mutlak-pent.) dalam lima saat iaitu sesudah sembahyang Asar hingga sembahyang Maghrib dikerjakan, sesudah terbit fajar kecuali dua rakaat fajar, sesudah sembahyang fajar hingga matahari naik dan ketika matahari berada di tengah serta ketika khutbah Jumaat.

Larangan terakhir yg ana ingin tuliskan di sini adalah dilarang sembahyang fardhu pada tiga masa, yakni ketika matahari naik, ketika matahari berada di tengah dan ketika matahari terbenam kecuali sembahyang Asar..

Saturday, September 1, 2007

ada kah boleh bergurau senda?

Sepertimana yang kita tahu, dalam kehidupan kita seharian kita tidak akan lekang dari melakukan kesilapan demi kesilapan yang mana kita sendiri pun tidak menyedari akan hakikat ini. Begitu juga dalam senda gurau dengan orang di sekeliling kita, adakah kita perasan atau pun tidak, orang di sekeliling kita tidak terasa dengan gurauan kita?? Adakah dibolehkan bergurau senda dalam Islam??
Bagi ana sendiri, tidak salah bergurau jika tidak bercakap dengan perkataan yang keji dan menimbulkan dosa atau bertujuan membuat orang tertawa sebab hal yang tersebut adalah tercela. Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda : "Sungguh aku tidak bergurau dan aku tidak mengatakan, kecuali kebenaran."

Diriwayatkan daripada Anas bahawa seorang lelaki meminta alat angkutan dari Rasulullah SAW. Maka baginda menjawab: "Aku akan mengangkutmu di atas anak unta." Orang tersebut bertanya : "Apa yang aku boleh perbuat dengan anak unta? " Rasulullah SAW menjawab. " Bukankah unta hanya untuk beranak unta?"

Diriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah SAW bergaul dengan kami dan berkata kepada saudaraku : " Wahai Abu Umair, apa yang dilakukan si burung kecil? "

Di sini ana bawakan satu cerita yang bagi ana sendiri amat terkenal di kalangan penuntut ilmu agama iaitu Diriwayatkan bahawa seorang perempuan tua berkata kepada Rasulullah SAW : "Doakan kepada Allah SWT agar memasukkan aku ke dalam syurga." Rasulullah SAW menjawab : "Sesungguhnya syurga tidak dimasuki oleh perempuan tua." Maka perempuan tua tersebut menangis. Kemudian Aisyah berkata : "Engkau telah membuatnya sedih." Maka Rasulullah SAW membacakan ayat yang bermaksud : " Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung. Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan penuh cinta lagi sebaya umurnya." (surah al-Waqi'ah : 35-37)
Akhirnya perempuan tua tersebut merasa senang.

Ana ingin selitkan di sini untuk akhawat yang mana di dalam syurga juga terdapat bilangan akhawat yang melebihi kaum ikhwah dalam neraka. Adakah anda tau kenapa??Jawapannya adalah kerana mereka ini tidak tau berterima kasih kepada suami mereka. Jadi, pesan ana adalah kepada mereka yang berkahwin terutamanya kaum Hawa, jadilah isteri yang solehah...

Diriwayatkan daripada Hammad bin Salamah daripada Abu Ja'far al-Khatmi bahawa Rasulullah SAW berkata kepada seorang lelaki yang berkuniyah Abu Umar : "Wahai Ibnu Umar." Kemudian orang tersebut menyentuh kemaluannya seraya berkata : "Ya Rasulullah, aku tidak melihat diri aku kecuali sebagai seorang suami seorang perempuan."
Maka Rasulullah SAW menjawab : "Sesungguhnya aku hanya bergurau denganmu."

Akhir sekali, jelaslah bagi kita semua tentang larangan bergurau dalam Islam, bergurau dibolehkan asalkan tidak berlebih-lebih, ana juga menasihati diri ana sendiri dan juga kalian bahawa janganlah terlalu banyak bergurau kerana ia dapat menghilangkan kewibawaan kita sebagai penuntut ilmu terutamanya bagi mereka yang menuntut ilmu agama di Mesir ini. Bergurau juga akan membuatkan diri kita semua tercela di kalangan orang-orang yang soleh serta akan membuat orang-orang jahil berani kepada kita semua dan juga akan menganggap kita semua ini kurang akal disebabkan terlalu banyak bergurau. Selain itu juga, janganlah bergurau dengan orang yang tidak bergaul denganmu dan dengan orang yang kita tidak ketahui akhlaknya. Tidak salah sekiranya kita ingin bergurau dengan orang yang berada di sekeliling kita asalkan tidak melakukan dosa dan tidak berlebih-lebihan. Sebab,sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan. Jadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan kita..