Saturday, January 12, 2008

mendahulukan makan atau sembahyang?

Sebelum jari jemari ana memulakan perjalanannya di atas keyboard berjenama Genius ini, marilah sama-sama kita tanamkan azam baru dalam diri kita sempena bermulanya tahun baru hijrah yang baru membuka tirainya beberapa hari yang lepas. Bila disebut perkataan azam ni, dalam diri saya ni sudah banyak azam yang tidak di qador, mungkin tahun ni perjuangan qodor akan berlaku..huhu.

Dengan lafaz bismillah saya mulakan perjalanan tulisan saya pada pagi yang berbahagia ini. Moga dengan rahmatnya kita semua diberikan kejayaan di dunia dan di akhirat. Kali ini saya ingin menghadirkan satu tajuk yang biasa berlaku dalam kehidupan kita seharian. Makan atau sembahyang? yang mana kita mulakan dahulu?jika terdengar azan dan pada masa yang sama terhidang makanan di hadapan kita, apa yang kita perlu buat? Kalau mengikutkan nafsu manusia dalam diri kita ini, semestinya kita mendahulukan makan semata-mata, betul tak?

Jika dihid
angkan makanan di hadapan seseorang dan dikerjakan sembahyang, tidak salah jika seseorang itu menyelesaikan makan terlebih dahulu, kemudian mengerjakan sembahyang jika tidak takut ketinggalan waktu. Sebab, jika mengerjakan sembahyang sesudah dihidangkan makanan sebelum ia makan, maka hatinya akan sibuk memikirkan tentang makanan yang terhidang. Jika seseorang itu sedang makan dan hatinya sibuk memikirkan sembahyang maka itu lebih baik daripada mengerjakan sembahyang sedangkan hatinya sedang memikirkan makanan.

Di sini, saya datangkan riwayat daripada Ibnu Abbas RA bahawa waktu sembahyang telah tiba sedangkan makanan telah dihidangkan, maka beliau berkata : "Kita mulai dengan an-nafsul lawaamah, yakni makan terlebih dahulu." Satu lagi riwayat yang saya hadirkan di sini diriwayatkan oleh Nafi' dariapada Ibnu Umar dan daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda : "Jika seseorang daripada kamu menghadapi makanan, janganlah ia terburu-buru hingga selesaikan keperluannya dari makanan itu, meskipun telah diserukan iqamat untuk sembahyang."

Dalam riwayat lain juga, Abdullah bin Arqam dan daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda : "Jika seseorang daripada kamu hendak mengerjakan sembahyang
dan ia ingin buang air, maka mulai dengan buang air"

Jadi, jelaslah bagi kita semua yang mana kita patut kita dahulukan antara makan dan sembahyang. Kita patut tahu tentang akan mendahulukan yang terlebih penting dari yang penting. Solat adalah penting dan makan juga penting tetapi adakah Allah akan menerima ibadah sembahyang hambanya yang hatinya tidak khusyu'?
Sama-samalah kita fikirkan dan renungi bersama. Sekian untuk permulaan hijrah.

Sunday, January 6, 2008

berbual kosong selepas isyak

Bismillah dan Alhamdulillah ana rafa'kan ke hadrat Ilahi rabbul Jalil kerana masih memberi kekuatan kepada ana untuk meneruskan agenda penulisan ana yang ana harap dapat memberi banyak faedah dan manfaat kepada pembaca yang melayari blog ana ini. Walaupun sekarang adalah musim peperiksaan fasa pertama tetapi semua itu tidak ana jadikan sebagai batu penghalang untuk meneruskan agenda penulisan ana yang berbentuk ilmiah dan nasihat ini.

Tajuk yang ana akan hadirkan dalam ruangan kali ini adalah satu tajuk yang ana kira agak popular di kalangan masyarakat kita yang mana masih ramai lagi tidak mengetahui dan menyedari tentang hakikat kita sebenarnya dilarang berbual kosong sesudah Isyak. Sesetengah ulama' menghukumkan adalah makruh berbual-bual kosong selepas Isyak dan ulama' yang lain pula membolehkannya. Bagi mereka yang tidak menyukainya berpegang kepada hadis Rasulullah SAW bahawa baginda melar
ang tidur sebelum isyak dan berbual-bual selepasnya.


Diriwayatkan daripada Umar RA bahawa beliau tidak membiarkan orang yang berbincang-bincang dan berbual-bual selepas Isyak dan beliau sendiri berkata : "Pulanglah kamu, barangkali Allah mengurniai kamu sembahyang dan tahajjud!". Adapun bagi yang membolehkan berbual-bual selepas Isyak pula, mereka ini berpegang kepada hadis yang diriwayatkan oleh Alqamah daripada Abdullah bin Mas'ud bahawa beliau berkata : "Adakalanya Rasulullah SAW berbincang-bincang sesudah Isyak di rumah Abu Bakar RA pada suatu malam tentang urusan kaum muslimin.". Diriwayatkan pula daripada Ibnu Abbas dan Miswar bin Makhramah bahawa kedua-duanya berbincang-bincang sesudah Isyak hingga naik bintang Thurayya.

Ana memperincikan lagi tajuk ini dengan mendatangkan jenis perbincangan dan perbualan yang biasa berlaku di kalangan kita dan masyarakat selepas Isyak iaitu ada tiga jenis. Jenis pertama adalah perbualan untuk membahaskan tentang ilmu. Maka ia adalah lebih baik daripada tidur. Jenis yang kedua pula adalah perbualan yang menceritakan tentang cerita-cerita dongeng tentang orang dahulu dan cerita bohong tentang orang lain. Mereka ini saling mengejek dan ketawa antara mereka dan ini adalah makruh. Jenis yang ketiga dan terakhir adalah sekadar untuk menghilangkan tension, menghiburkan hati dan menjauhi penipuan serta perkataan yang batil. Maka tidak ada masalah dengannya. Lebih baik tidak melakukan itu berdasarkan larangan yang diriwayatkan mengenainya.

Jika kita melakukan akan hal itu maka ketika kembali kita patut menyebut nama Allah Taala dan bertasbih serta mengucapkan istighfar supaya pengakhirannya diakhiri dengan kebaikan. Diriwayatkan daripada Aishah RA bahawa beliau berkata : "Tidaklah berbincang-bincang sesudah Isyak kecuali bagi yang bermusafir dan orang yang mengerjakan sembahyang.". Hal itu disebabkan kerana musafir memerlukan sesuatu yang boleh menghalang tidur darinya bagi meneruskan perjalanan. Maka hal itu dibolehkan meskipun tidak melakukan ibadah. Adapun orang yang mengerjakan sembahyang jika berbual-bual selepas Isyak, kemudian mereka ini mengerjakan sembahyang maka tidurnya dalam keadaan sembahyang dan duduknya pada malam itu diakhiri dengan ketaatan. Sekian.