Sunday, January 6, 2008

berbual kosong selepas isyak

Bismillah dan Alhamdulillah ana rafa'kan ke hadrat Ilahi rabbul Jalil kerana masih memberi kekuatan kepada ana untuk meneruskan agenda penulisan ana yang ana harap dapat memberi banyak faedah dan manfaat kepada pembaca yang melayari blog ana ini. Walaupun sekarang adalah musim peperiksaan fasa pertama tetapi semua itu tidak ana jadikan sebagai batu penghalang untuk meneruskan agenda penulisan ana yang berbentuk ilmiah dan nasihat ini.

Tajuk yang ana akan hadirkan dalam ruangan kali ini adalah satu tajuk yang ana kira agak popular di kalangan masyarakat kita yang mana masih ramai lagi tidak mengetahui dan menyedari tentang hakikat kita sebenarnya dilarang berbual kosong sesudah Isyak. Sesetengah ulama' menghukumkan adalah makruh berbual-bual kosong selepas Isyak dan ulama' yang lain pula membolehkannya. Bagi mereka yang tidak menyukainya berpegang kepada hadis Rasulullah SAW bahawa baginda melar
ang tidur sebelum isyak dan berbual-bual selepasnya.


Diriwayatkan daripada Umar RA bahawa beliau tidak membiarkan orang yang berbincang-bincang dan berbual-bual selepas Isyak dan beliau sendiri berkata : "Pulanglah kamu, barangkali Allah mengurniai kamu sembahyang dan tahajjud!". Adapun bagi yang membolehkan berbual-bual selepas Isyak pula, mereka ini berpegang kepada hadis yang diriwayatkan oleh Alqamah daripada Abdullah bin Mas'ud bahawa beliau berkata : "Adakalanya Rasulullah SAW berbincang-bincang sesudah Isyak di rumah Abu Bakar RA pada suatu malam tentang urusan kaum muslimin.". Diriwayatkan pula daripada Ibnu Abbas dan Miswar bin Makhramah bahawa kedua-duanya berbincang-bincang sesudah Isyak hingga naik bintang Thurayya.

Ana memperincikan lagi tajuk ini dengan mendatangkan jenis perbincangan dan perbualan yang biasa berlaku di kalangan kita dan masyarakat selepas Isyak iaitu ada tiga jenis. Jenis pertama adalah perbualan untuk membahaskan tentang ilmu. Maka ia adalah lebih baik daripada tidur. Jenis yang kedua pula adalah perbualan yang menceritakan tentang cerita-cerita dongeng tentang orang dahulu dan cerita bohong tentang orang lain. Mereka ini saling mengejek dan ketawa antara mereka dan ini adalah makruh. Jenis yang ketiga dan terakhir adalah sekadar untuk menghilangkan tension, menghiburkan hati dan menjauhi penipuan serta perkataan yang batil. Maka tidak ada masalah dengannya. Lebih baik tidak melakukan itu berdasarkan larangan yang diriwayatkan mengenainya.

Jika kita melakukan akan hal itu maka ketika kembali kita patut menyebut nama Allah Taala dan bertasbih serta mengucapkan istighfar supaya pengakhirannya diakhiri dengan kebaikan. Diriwayatkan daripada Aishah RA bahawa beliau berkata : "Tidaklah berbincang-bincang sesudah Isyak kecuali bagi yang bermusafir dan orang yang mengerjakan sembahyang.". Hal itu disebabkan kerana musafir memerlukan sesuatu yang boleh menghalang tidur darinya bagi meneruskan perjalanan. Maka hal itu dibolehkan meskipun tidak melakukan ibadah. Adapun orang yang mengerjakan sembahyang jika berbual-bual selepas Isyak, kemudian mereka ini mengerjakan sembahyang maka tidurnya dalam keadaan sembahyang dan duduknya pada malam itu diakhiri dengan ketaatan. Sekian.

No comments: