Wednesday, September 5, 2007

kewajipan menuntut ilmu..

Sebagaimana yang kita tahu, saban tahun semakin ramai pelajar-pelajar dari malaysia datang ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran mereka di Universiti Azhar dalam pelbagai bidang agama seperti kuliah Bahasa Arab, Syariah, Usuluddin, Pengajian Islam Dan Bahasa Arab, Qiraat dan juga tidak lupa kepada pelajar-pelajar perubatan yang membanjiri ardul kinanah ini dan yang menghiasi dunia ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah di sini. Jadi, masing-masing sudah maklum dan tahu bahawa kedatangan kita di sini adalah untuk menuntut ilmu dan seharusnya kita sendiri mengetahui bahawa wajibnya menuntut ilmu bagi setiap individu yang mengaku sebagai khalifah Allah SWT di dunia ini yang semakin hari semakin berusia.

Kita semua sudah sedia maklum bahawasanya menuntut ilmu adalah wajib atas tiap-tiap orang Islam, tidak mengira lelaki ataupun perempuan, sesuai dengan kadar yang diperlukan seseorang sama ada dalam urusan dunianya atau urusan agamanya. Ia mesti mengetahui hukum hakam wudhuk, sembahyang dan hal-hal lain yang berkaitan dengan kehidupannya.
Adapun yang selain itu tidak wajib. Namun, jika ia mempelajari hal-hal yang selain itu tentulah lebih baik dan jika ia meninggalkannya maka tidaklah sampai berdosa. Menuntut ilmu yang diperlukan adalah wajib hukumnya kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Maka bertanyalah kepada orang yang berilmu (ulama' ilmuan) jika kamu tidak mengetahui. " ( surah al-Nahl: 43)

Abdullah Bin Mas'ud RA berkata : "Tuntutlah ilmu sebelum ia dicabut dengan meninggalnya para ulama'. Tuntutlah ilmu sebab di antara kamu tidak akan mengetahui apakah kelak ia memerlukannya."

Selepas itu orang ramai bercakap tentang mencari tambahan ilmu. Sesetengah daripada mereka mengatakan bahawa apabila memang menuntut ilmu sekadar yang diperlukannya, wajarlah ia mengamalkannya dan tidak menuntut tambahan. Sesetengah yang lain berpandangan bahawa apabila seseorang sibuk menuntut ilmu tambahan, hal tersebut lebih baik setelah ia memenuhi kewajipan-kewajipannya. Pendapat ini lebih sahih.

Dan dalam ayat lain ada menyebut yang bermaksud: "Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu), nescaya kami bukan termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala." (surah al-Mulk: 10)
Allah SWT memberitahukan bahawa mereka menjadi penghuni neraka kerana kejahilan mereka.

Diriwayatkan daripada Ali Bin Abi Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu hukumnya wajib bagi tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan,"

Hasan al-Bashri berkata: "Termasuk amal adalah seseorang yang menuntut ilmu lalu mengajarkannya kepada orang ramai."

Abdullah Bin Abbas RA juga mengatakan bahawa menuntut ilmu sesaat pada malam hari lebih disukai Allah daripada sembahyang pada malam tersebut.

Auf bin Abdullah menceritakan seorang lelaki yang datang kepada Abu Zarr al-Ghifari, lalu berkata: "Aku mahu menuntut ilmu dan takut menyia-nyiakannya serta tidak mengamalkannya, " kata lelaki tersebut kepada Abu Zarr. "Sesungguhnya engkau lebih baik menjadi pemimpin dengan ilmu daripada menjadi pemimpin dengan kejahilan, " tegas Abu Zarr. Selepas itu lelaki tersebut pergi kepada Abu Darda dan bertanya kepadanya: "Semua manusia dibangkitkan dari kubur mereka dalam keadaan yang berlainan; orang alim dalam keadaan alim dan orang jahil dalam keadaan jahil, " Abu Darda menjelaskan. Selanjutnya ia pergi kepada Abu Hurairah untuk menanyakan hal yang sama. "Kesia-siaan yang paling penting ialah meninggalkan untuk menuntut ilmu. " jawab Abu Hurairah.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW : "Amal apakah yang paling utama? "
"Ilmu," jawab Rasulullah SAW.
Ia brtanya untuk kedua dan ketiga kalinya. Rasulullah SAW tetap menjawabnya seperti jawapan yang pertama. "Ya Rasulullah, mudah-mudahan Allah SWT memberi kesejahteraan kepadamu," kata lelaki tersebut.
"Aku bertanya kepadamu tentang amal," sahutnya lagi. "Bukankah Allah SWT tidak akan menerima amal kecuali dengan ilmu?" tegas Rasulullah SAW.

Secara keseluruhannya, bagi kita ummat Islam adalah amat penting untuk kita semua sama-sama berlumba dalam menuntut ilmu di bumi Mesir ini dan walau di mana kita berada terutamanya dalam memperdalami ilmu agama. Ana menggunakan ilmu agama di sini kerana ia adalah ilmu yang teramat penting untuk memastikan perjalanan kita sebagai khalifah Allah selamat hingga ke akhirat nanti. Ingatlah pesan dari ana, amalan yang tidak berdasarkan ilmu adalah seperti pokok yang tidak berbuah.

No comments: