Tuesday, August 28, 2007

lelaki soleh..

Lelaki Soleh bagaikan mutiara indah berkilauan nan mempesona. Keperibadiannya dihiasi dengan ketulusan, keinsafan dan kesabaran. Kedudukannya juga dimuliakan oleh Allah sebagai khalifah. Lantaran mereka mempunyai peranan dalam menegak kebenaran dan mencegah kemungkaran.
Mindanya yang kreatif, hati nuraninya yang suci bersih serta budi pekertinya yang luhur mampu menunduk serta menewaskan hasutan nafsu dan tipu daya syaitan yang sentiasa menghasut ke arah kesesatan dan kehancuran. Al-Quran dan sunnah Rasul sentiasa tersemat di hatinya sebagai pelita kehidupan dan pegangan dalam mengharapkan keredhaan Allah SWT. Justeru Lelaki Soleh menghiasi kedudukan ,keperibadiannya serta peranannya dalam menjalani kehidupan di muka bumi yang penuh ranjau berduri ini.

1.Kedudukannya
.

Secara umum manusia adalah makhluk yang terbaik keperibadiannya. Sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: ”Sesungguhnya telah kami ciptakan manusia itu dalam sebaik-baik kejadian.” (At-Tin:4). Manusia juga merupakan mahkluk yang termulia, yang bijaksana.

Firman Allah SWT maksudnya:
“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam dan Kami berikan mereka kenderaan di darat dan di laut dan Kami beri mereka rezeki yang baik-baik dan Kami muliakan mereka dari kebanyakan mahkluk yang telah Kami ciptakan dengan sebenarnya mulia.”
(Al-Israk:70)

Secara khusus bahawa manusia yang beriman merupakan insan yang paling tinggi martabatnya. Firman Allah SWT maksudnya: “Dan Engkaulah yang paling tinggi jika engkau yang beriman.” (Al-Imran:39). Namun begitu martabat manusia akan menjadi hancur dan musnah jika ia menuruti kehendak hawa nafsu dan rayuan syaitan. Sebagaimana firman Allah maksudnya:
“Sesungguhnya yang sejahat-jahat binatang melata menurut pandangan Allah ialah orang-orang yang ingkar kepada kebenaran-Nya.”
(Al-Anfal:55)

Untuk mempertahankan martabat manusia yang suci dan mulia itu, hendaklah mengadakan hubungan dengan Allah dan manusia dalam bentuk amal soleh. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dilimpahkan kehinaan kepada manusia di mana saja mereka berada, kecuali bila mempunyai hubungan dengan Allah dan dengan manusia. (Al-Imran:112)

2.Keperibadiannya.

Al-Quran membahagikan sifat-sifat manusia itu kepada dua bahagian. Pertama bersifat positif ataupun baik dan kedua bersifat negatif ataupun buruk. Firman Allah SWT maksudnya:
“Sesungguhnya kami telah menunjukkkan kepada manusia jalan(yang lurus), ada di antaranya yang berterima kasih dan ada pula yang mengingkarinya.”
(AL-Insan:3)

Sifat-sifat yang mulia banyak disebutkan di dalam Al-Quran,bahkan Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi manusia yang berbuat kebaikan. Firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berbuat baik bagi mereka adalah syurga.” (Al-Kahfi:107)
Para ulama telah mengemukakan pula berdasarkan Al-Quran sifat-sifat yang baik tersebut. Mereka memberi nama dengan sifat yang terpuji. Di antara sifat-sifat tersebut iaitu: Jujur, pemaaf, berbuat baik dalam perbuatan, takut kepada Allah, tekun, pemalu, menahan diri melakukan maksiat, ikhlas, berbuat baik kepada semua mahkluk, cinta belas kasihan, menerima dengan senang hati semua pemberian Allah, sabar, syukur, merendahkan diri kepada Allah, tawakkal, merasa cukup dengan apa yang ada, zuhud, ingat mati, rajin, berani kerana benar dan lain-lain.

Begitu juga banyak sifat-sifat buruk terkandung di dalam Al-Quran. Para ulama telah mengemukakan pula sifat-sifat buruk ini antara lain berdasarkan Al-Quran: Khianat, bakhil, pemarah, membincangkan aib orang lain, menjauhkan diri dari pergaulan, iri hati, memutuskan silaturrahim, cinta dunia, berlebihan-lebihan, sombong, dusta, ingkar, mengumpat, makar, riyak, banyak berbicara, banyak makan, angkuh meremehkan orang lain, takabur dan lain-lain lagi.

Perbuatan baik itu akan mengangkat martabat manusia sedangkan perbuatan buruk akan menjatuhkan ke lembah kehinaan. Sesungguhnya perbuatan jahat itu dipimpin oleh syaitan. Sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Dan orang-orang yang mengikuti langkah-langkah syaitan, sesunguhnya syaitan itu menyuruh berbuat keji dan mungkar.” (Al-Nur:21)

Sebaliknya perbuatan baik itu dibantu oleh malaikat untuk melakukannya. Firman Allah: “Dan mereka telah dipimpin kepada yang baik dari perkataan dan telah dipimpin ke jalan yang terpuji.”
(Al-Haj:24)


3.
Peranannya.

Allah SWT telah menetapkan bahawa alam semesta ini diserahkan kepada manusia untuk mentadbirnya. Dengan sendirinya fungsi manusia diciptakan di samping untuk mengabdikan kepada Allah sebagai Pencipta juga untuk mentadbir alam semesta ini. Firman Allah SWT maksudnya: “Dialah Allah yang telah menjadikan sekalian yang ada di bumi ini untuk kamu.” (Al-Baqarah:29)

Manusia tidak lain adalah khalifah Allah di atas bumi ini. Tugas khalifah adalah membuat pengurusandan pentadbiran agar bumi ini menjadi aman dan damai serta menjalankan peraturannya sesuai dengan ketentuan kitab Al-Quran. Manusia harus melaksanakan segala perintah yang disuruh dan meninggalkan segala larangan yang dilarang oleh Allah SWT serta sentiasa mengharapkan keredhaan daripadanya-Nya.
Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan Dia lah yang telah berkenan menjadikan kamu sekalian sebagai khalifah, dan Dia telah meninggikan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu sekalian tentang segala apa yang telah dianugerahkan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhan kamu itu cepat seksa-Nya dan Dia sesungguhnya Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang.” (Al-An’am:165)
Orang yang telah melaksanakan segala tugas yang diberikan oleh Allah kepadanya hendaklah menyerahkan segala urusan kepada Allah, kerana Allah sajalah yang berhak menilai amal soleh kita itu. Firman Allah SWT maksudnya: “Dan orang-orang yang telah berjihad untuk mencari keredhaan Kami,. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang
berbuat baik.” (Al-Ankabut:69)
Demikianlah ketentuan Allah bahawa orang-orang yang benar memahami akan fungsinya sebagai khalifah akan dibimbing Allah ke jalan yang diredhai-Nya. Akhirnya akan hidup riang gembira di akhirat kelak bersama-sama orang yang soleh. Hendaklah kita memahami bahawa tugas khalifah itu antara lain:

a.
Manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini sebagai insan yang melaksanakan sifat-sifat mulia yang datangnya dari Allah.

b. Sebagai khalifah Allah, maka manusia wajib mensyukuri segala nikmat Allah. Kemudian menggunakan segala nikmat itu sesuai dengan kehendah Allah SWT.

c. Adapun kehendak Allah agar manusia sebagai khalifah-Nya mampu membina daya kreativiti, serta memakmurkan dunia ini sesuai dengan garis dan pedoman yang diberikan di dalam Al-Quran.

d. Manusia harus menjadikan islam sebagai ad dein, iaitu Islam sebagai suatu cara hidup, serta tidak memilh pedoman kehidupan lain kecuali Islam.

e. Melaksanakan tugas yang diberikan oleh Allah dengan sungguh-sungguh baik berkaitan tentang urusan keduniaan mahupun bekal akhirat nanti.

No comments: