Thursday, October 16, 2008

persoalan tentang puasa enam

Alhamdulillah ana panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi diberi peluang untuk merasai al-laila libasa dan an- nahara ma'asya. Ana tergerak hati menulis tentang persoalan puasa enam di sini sejurus terdengar berita dari kawan ana yang mana dia menceritakan bahawa di kampungnya sudah riuh rendah orang kampung bercakap tentang tidak perlu puasa sunat enam dalam bulan Syawal. Jadi ana kembali ke blog ana iaitu intiqal melalui cara ini. Sebagai permulaan, puasa enam ialah dilakukan pada bulan Syawal dan diharamkan puasa pada hari pertama Syawal. Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Muslim, no 1164). Sesiapa yang mempunyai kitab Sohih Muslim bolehlah merujuk di dalam kitab ini kerana ana juga menjadikan kitab ini sebagai rujukan untuk menjelaskan tentang puasa enam. Dalam hadis ini menunjukkan adalah jelas bagi mazhab imam Syafei, imam Ahmad, Imam Daud dan pengikut yang sepakat dengan mereka ini iaitu imam Syafei, Imam Ahmad dan Imam Daud bahawasanya sunat puasa enam dalam bulan Syawal.

Imam Syafei dan pengikutnya menyatakan bahawa hadis ini adalah sohih dan jelas, dan berkata ashabul imam Syafei bahawasanya lebih afdal sekiranya puasa enam ini dilakukan secara mutawaliyah iaitu berturut-turut sesudah hari raya puasa aidilfitri iaitu hari raya kedua,iaitu dua Syawal sehingga tujuh Syawal tetapi puasa berasingan adalah dibolehkan. Apa yang penting di sini adalah cukup puasa enam dalam bulan Syawal tidak kira diamalkan di awal, pertengahan ataupun akhir bulan Syawal. Maka terhasillah fadhilat almutabi'ah iaitu akan dapatlah fadhilat puasa enam di bulan Syawal. Di sini ingin ana terangkan bahawa tidak kira puasa berturut-turut selama enam hari ataupun bercerai di antara awal dan akhir; yang pentingnya adalah puasa enam tersebut cukup bilangannya enam hari dalam bulan Syawal tetapi perlu kembali kepada yang mana yang afdal sama ada berturut-turut ataupun tidak tetapi kita perlu tahu di sini bahawa fadhilatnya adalah sama. Ulama' menyatakan semua itu iaitu puasa enam berturut-turut ataupun tidak adalah seperti puasa setahun kerana satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan bertepatan dengan satu bulan puasa di bulan Ramadhan sama dengan puasa selama sepuluh bulan dan puasa enam di bulan Syawal pula adalah sama dengan puasa selama dua bulan. Jadi, apabila sepuluh bulan dicampur dengan dua bulan terhasillah dua belas bulan. Maka cukuplah ganjaran puasa selama dua belas bulan iaitu setahun. Ini untuk menunjukkan bahawa hadis ini adalah betul dan sohih.

Berhubung dengan satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan, ana ingin memberi contoh kenapa satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan?nak tahu?ana bawakan sebuah kisah tentang Saidina Ali RA dan Fatimah Az-Zahra yang mana pada satu ketika Fatimah sedang mengandung dan mengidam untuk makan buah epal, jadi apabila Fatimah memberitahu kepada Saidina Ali tentang apa yang diidaminya maka perasaan gelisah timbul di hati Ali, kerana terlalu sayangkan zaujahnya Fatimah, Ali terus ke pasar untuk membeli sebiji epal. Dalam perjalanan pulang ke rumahnya Ali telah berjumpa seorang lelaki tua yang menuju ke arahnya dan mengadu bahawa dia terlalu lapar dan akan mati sekiranya perutnya tidak diisi dengan sebarang makanan, sejurus itu kerana terlalu kesiankan pak cik tua tersebut, Ali membelah kepada dua bahagian epal yang dibelinya dan memberikan satu bahagian kepada pak cik tadi, selepas itu Ali meneruskan kembali perjalannya ke rumah. Tiba-tiba ketika hampir sampai di rumahnya, beliau telah bertemu sekali lagi seorang lagi lelaki tua yang datang menuju kepadanya lalu mengadu kelaparan. Ali yang terkenal dengan sifat pemurah lantas memberi satu bahagian epal yang tertinggal tadi kepada lelaki tua tersebut. Selepas itu Ali meneruskan perjalannya menuju ke rumahnya dengan tangan yang kosong. Setibanya Ali di depan pintu rumahnya dan mengetuk pintu lalu zaujah kesayangannya membuka pintu dengan wajah yang gembira dan sedikit tersenyum, lalu Ali pun pelik dan bertanya kepada Fatimah kenapa Fatimah tersenyum? Fatimah menjawab kepada suaminya Ali, ketika Ali keluar pergi ke pasar untuk mencari epal, rumah mereka berdua telah didatangi oleh seseorang lalu menyedekahkan sepuluh biji epal kepada isterinya, maka Ali teruslah masuk ke rumahnya dan melihat ada sembilan biji epal di dalam bekas, Ali bertanya kepada isterinya, ke mana perginya sebiji lagi? Isterinya menjawab bahawa dia telah memakannya tadi. Berdasarkan cerita ini, jelaslah bahawa satu kebaikan yang dilakukan akan mendapat sepuluh kali kebaikan. Maka ayat ini mempunyai kaitan yang agak rapat degan ganjaran puasa bulan Ramadhan dan puasa enam di bulan Syawal. Puasa sebulan Ramadhan mendapat ganjaran puasa di sepuluh bulan lain manakala puasa enam hari di bulan Syawal mendapat ganjaran puasa di dua bulan lain dengan kiraan satu hari sama dengan sepuluh hari, sepuluh hari didarabkan dengan enam hari maka terhasillah enam puluh hari dan sama juga dengan dua bulan. Keseluruhannya jika dicampurkan semua maka terhasillah dua belas bulan iaitu nisbahnya sama dengan setahun. Maka benar dan sohihlah hadis ini.

Berkaitan dengan dua mazhab lagi bahawa puasa enam ni adalah makruh, itu merupakan pendapat imam Malik dan imam Abu Hanifah yang mana mengatakan bahawa puasa enam di dalam bulan Ramadhan adalah makruh. Telah berkata imam Malik dalam kitab Muwatta' bahawa tidak seorang pun aku lihat di kalangan ahli ilmu berpuasa enam dalam bulan Syawal. Mereka ini iaitu ahli ilmu yang dikatakan oleh imam malik tadi mengatakan makruh kerana menolak sangkaan dari menyangka bahawa puasa enam ini adalah wajib.

Kesimpulan yang dapat ana tuliskan di sini adalah janganlah kita semua bertikam lidah tentang persoalan sama ada hendak melakukan atau tidak puasa enam ini sebab puasa enam ini adalah sunat,jadi dahulukan yang wajib dulu seperti puasa qada tetapi tidak salah kalau ingin menggabungkan atau tidak antara puasa sunat enam dan puasa qadar tersebut.

No comments: