Tuesday, April 22, 2008

imam mazhab kita

Assalamualaikum buat para pembaca budiman sekalian, sebelum ana memulakan perjalanan fannul maqal ana ni, ingin ana menyusun jari sepuluh dari kalangan para pembaca yang menziarahi blog ana ni kerana sudah agak lama ana tidak 'update' blog ana ni. Sejak ada zaujah yang bernama 'Dayun' ni, memang asyik keluar dengan dia je sampai dunia internet pun tidak sempat dijelajahi.

Sebenarnya hari ini ana ingin menulis tentang imam yang kita pegangi sebagai imam mazhab terutama sekali di Malaysia. Sebelum itu, kenal atau tidak siapakah gerangan tokoh dan pemikir Islam ini? Sedarkah kita bahawa kita telah menuntut ilmu yang ditinggalnya tetapi kita tidak mengenali dengan lebih mendalam siapakah pemilik sebenar ilmu tersebut yang telah berjasa dalam agama kita ini.

Di sini ana ingin menulis dengan lebih lanjut tentang siapakah tokoh ini. Ana akan datangkan dalam bentuk yang agak mudah iaitu yang pertama pengenalan beliau, seterusnya pendidikannya, sifat-sifat peribadinya, sumbangannya dalam bidang ilmu dan kata-kata hikmat dan nasihat yang telah ditinggalkan kepada kita sebagai hamba yang hidup pada zaman yang penuh pancaroba ini.

Pengenalan

Nama sebenar beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin al-'Abbas bin Uthman bin Syafi' bin a-Sa'ib bin Abid bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Muttalib bin Abdul Manaf. Dikenali sebagai Imam as-Syafi'e, berketurunan Qaraisy sama dengan keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Ibunya ialah as-Sayyidah Fatimah binti Abdullah bin al-Hassan bin Ali bin Abi talib. Beliau dilahirkan di Ghazzah, Palestin dalam daerah 'Asqalan pada tahun 150H / 767M, iaitu pada hari kematian Imam Abu hanifah r.a./ pada zaman pemerintahan Abu Ja'afar al-Mansur iaitu khalifah Abbasiyyah yang kedua.

Ayahanda dan bonda beliau berasal dari Kota Mekah dan mereka telah pergi berziarah ke Palestin. Setibanya di sana ayahnya meninggal dunia dan beliau masih dalam kandungan ibunya. Kemudian beliau dilahirkan di rumah seorang kerabatnya di Ghazzah. Setelah berusia dua tahun beliau telah kembali bersama ibunya ke Mekkah dan menjalani kehidupan yang amat sederhana. Sejak remaja lagi beliau dikenali sebagai Abu Abdullah, kerana anaknya bernama Abdullah dan beliau lebih dikenali dengan sebagai Imam as-Syafi'e. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam jumaat 29 rejab pada tahun 204H.

Pendidikannya.

Beliau hidup dalam keadaan yatim bersama ibunya. Walaupun demikian, semasa umurnya mencapai sembilan tahun beliau telah menghafaz al-Quran. Cintanya kepada ilmu pengetahuan sungguh mendalam. Beliau telah meninggalkan negeri Mekah menuju ke sebuah kampung bernama Banu al-Huzail dan di situlah beliau mempelajari Bahasa Arab dan sastera. Beliau mahir dalam bidang mengarang dan menyusun syair dan sajak. Gaya bahasa dan susunannya amat indah sekali. Beliau belajar ilmu feqah di Kota Mekah daripada Imam Muslim Ibnu Khalid az-Zanji, seorang ulama dan mufti di Kota Mekah. Ilmu hadis pula beliau belajar dengan Abu Sufian bin 'Uyainah, seorang ulama dan ahli hadis yang terkemuka di Kota Mekah. Beliau juga mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan daripada beberapa orang para ulama di Masjidil Haram Mekah.

Selain itu, beliau sangat pintar dan rajin pula, serta mempunyai beberapa keistimewaan seperti :

1- ketika berumur sembilan tahun beliau telah dapat menghafal al-Quran keseluruhannya dengan lancar.

2- ketika berusia sepuluh tahun beliau telah menghafal dan memahami kitab al-Muwatta' karangan Imam Malik.
3- ketika berusia lima belas tahun beliau telah menjadi guru besar dan mufti untuk mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjidil Haram.


Beliau juga sangat mengutamakan pengetahuan dan displin. Beliau menjadikan malamnya menjadi tiga bahagian utama :

1~ 1/3 untuk menulis ilmu pengetahuan
2~ 1/3 untuk sembahyang dan ibadat
3~ 1/3 untuk tidur dan istirehat


Sifat-sifat Peribadinya.

Beliau adalah seorang yang tinggi, kacak dan gagah. Kulitnya putih, lidahnya petah berbicara dan mempunyai suara yang menarik dan menawan hati. Ramai di kalangan ulama menganggap beliau merupakan mujaddid pada kurun ke-2 selepas Umar bin Abdul Aziz sebagai mujaddid pada kurun ke-1. Ahli sejarah juga pernah meriwayatkan suatu hadis mengenai kebesaran beliau, antara lainnya ialah, "Seorang alim berbangsa Quraisy, ilmu pengetahuannya akan memenuhi permukaan bumi ". Sebahagian ulama memaksudkan hadis itu adalah ditujukan kepada beliau. Beliau juga merupakan seorang yang sederhana dalam segala hal, sama ada pada pakaian atau makanan. Apabila beliau menerima hadiah, maka ketika itu juga beliau memberikan hadiah itu kepada orang yang berhajat.

Kegiatan dan kegigihannya mencari ilmu tidak pernah pudar dalam hidupnya. Beliau telah mengembara ke Madinah, Iraq, Kuffah, Parsi dan Yaman kerana tujuan tersebut. Beliau juga telah menolak tawaran Harun al- Rasyid untuk menjadi qadi di Yaman kerana katanya :" Saya tidak berhajat hendak mengubungkan kekeluargaan dan persaudaraan di Mesir."

Sumbangannya Dalam Bidang Ilmu

Beliau memberi sumbangan yang sangat besar dalam bidang perundangan Islam. Beliau dikenali sebagai ahli ijtihad yang mahir. Pendapat beliau semasa di Iraq, dikenali sebagai kaul qadim dan pendapat beliau semasa di Mesir dikenali sebagai kaul jadid. Antara beberapa kitab karangan beliau dalam berbagai bidang ialah ar-Risalah, al-Umm, Ikhtilaf al-Hadis, al-Musnad, Kitab al-Fiqh, Kitab al-Mukhtasar al-Kabir, Kitab al-mukhtasar al-Soghir, al-Jami' al-Kabir dan al-Jami' al-Soghir. Di samping itu banyak lagi kitab-kitabnya di bidang tafsir al-Quran, akhlak dan sebagainya.

Beliau mempunyai ramai murid dan sahabat yang terkenal seperti Imam Ahmad bin Hanbal as-Syaibani, Imam Abu Ibrahim Ismail bin Yahya al-Muzni, Imam ar-Rabi' bin Sulaiman bin Abdul Jabbar al-Marawi, Imam Abu Thaur, Ibrahim bin Khalid al-Yaman al-Kalbi al-Baghdadi dan Imam Hassan bin Muhammad bin Sobah az-Za'farani al-Baghdadi.

No comments: