Tuesday, August 23, 2011

penghuni neraka

Assalamualaikum kepada saudara dan saudari yang pernah menziarahi laman blog saya yang tidak seberapa sempurna ini. Alhamdulillah kali ini diberi kesempatan oleh Allah untuk terus membenarkan jari jemari saya menekan keyboard komputer untuk berkongsi dengan saudara tentang sesuatu yang agak penting juga di zaman yang serba maju ini.

Pertama sekali kite berkongsi tentang hadis yang akan saya kongsikan dgn kamu semua tentang hadis di mana dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Hadis nabi Muhammad saw yang bermaksud :- 'Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah saw bersabda.; "Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan,menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalan yang sangat jauh daripadanya".

Untuk pengetahuan para pengunjung, hadis ini ditujukan kepada ummat Islam akhir zaman dan sudah semestinya kita semua ini adalah tergolong dalam zaman yang telah nabi saw sabdakan ini. Kebenaran sabdaan Rasulullah saw ini dapat juga kita lihat dari realiti masyarakat yang ada pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemeti tanpa soal siasat, bertindak kepada manusia dengan hukum rimba.

Di akhir zaman ini jugak kita sendiri dapat lihat perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak katakan berpakaian pun boleh, kerana masih ade secarik kain di atas badan, dan kalau kita hendak katakan bertelanjang pun boleh, kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja, maka samalah dengan bertelanjang ataupun ia berpakaian dengan pakaian yang sangat tipis sehingga menampakkan warna kulit dan menampakkan bentuk tubuh mereka. Kemudian sambil berjalan mereka ini menghayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar seperti goh unta.

Selain itu juga,kita dapat lihat sendiri dengan kemajuan teknologi sekarang di mana banyak lahirnya ruang untuk bersosial seperti Facebook, Twitter, My Space dan banyak lagi yang dicipta oleh orang bukan Islam untuk merosakkan perempuan-perempuan Islam dengan cara membuat mereka tidak malu untuk memasukkan gambar yang tidak menutup aurat, menampakkan bentuk tubuh dan lebih-lebih lagi berkongsi aib dengan orang lain dengan bercerita tentang perkara yang memalukan diri sendiri. Contohnya di Facebook, ruangan ini pengguna boleh membuat status dengan menceritakan tentang masalah dalam rumah tangga, membuat fitnah, dan bercerita tentang aib diri sendiri ataupun membuka aib orang lain. Hal yang demikian sememangnya diinginkan oleh pencipta Facebook ini yang beragama Yahudi iaitu MARK ZUCKERBERG.

Kesimpulan yang dapat saya simpulkan di sini adalah kedua-dua golongan ini tidak akan masuk ke dalam syurga dan tidak akan mencium bau wanginya, walaupun semerbak wanginya telah tercium dari jarak perjalanan selama 500 tahun sebelum sampai kepadanya. Semoga dijauhkan....


Monday, November 15, 2010

silat warisan teringgi kita.....jom berbangga..

Pada tahun 1973, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato' Syed Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya. Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong. Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan seni beladiri Jeet Kune Do. Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong.

Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu. Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, TETAPI jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia. Kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee.

Sebelum daripada itu, pada tahun 1972, serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee. Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato' Meor Abdul Rahman di Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato' Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut. Kemudian, Dato' Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.


Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato' Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato' Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato' Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut.

Sebaik sahaja melihat Dato' Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan(Kipas Nandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee. Pukulan tangan Dato' Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato' Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut.

Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya. Tidak lama selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato' Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu. Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.)

Thursday, November 4, 2010

pengakhiran zaman semakin dekat

Alhamdulillah saya panjatkan ke hadrat ilahi kerana masih lagi diberi semangat untuk menulis di jalan Allah SWT walaupun sudah agak lama menyepikan diri setelah sekian lama tidak membiarkan jari - jemari ini menari di ruangan 'keyboard' komputer. Walaupun peranan dakwah berkurangan dari segi curahan kata-kata kepada masyarakat, diharapkan dengan kembali menulis ini dapat meringan sedikit bebanan di hati ini yang terlalu memikirkan perasaan bersalah kerana kurangya peranan sebagai seorang khalifah di muka bumi ini sedangkan telah diamanahkan untuk beribadat dan menghambakan diri padaNYA disamping berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran..

Kali ini terdetik di hati ini untuk membiarkan jari bekerjasama dengan hati dan otak terutamanya fikiran ini dalam berkongsi dengan para pembaca yang menziarahi blog ini secara langsung ataupun tidak langsung tentang hadis-hadis nabi tentang peristiwa akhir zaman. Semestinya saya sendiri tergolong dalam golongan ini lebih-lebih lagi bumi ini sudah terlalu lama berpaksi pada putarannya yang mana setiap hari telah banyak perubahan yang berlaku pada isinya lebih-lebih lagi kita sebagai manusia..

Hadis yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca sekalian adalah tentang peristiwa akhir zaman yang telah disabdakan oleh junjungan kita nabi Muhammad SAW dalam hadis tentang akan berlakunya di suatu zaman ekonomi akan meningkat, kaum perempuan bekerja dan kemudahan alat tulis yang berleluasa. Hadis itu berbunyi yang beerti "Daripada Abdullah Bin Mas'ud r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : "Sesungguhnya apabila kiamat sudah akhir tiba (1) orang akan hanya memberi salam kepada orang yang dikenali sahaja, (2) perniagaan akan bertambah maju, sehingga orang perempuan membantu suaminya berniaga, (3) banyak orang memutuskan silaturrahim(hubungan kekeluargaan, (4) banyak saksi palsu, (5) orang suka menyembunyikan penyaksian yang benar, (6) dan akan banyak kemudahan alat tulis" .

Apa yang saya dapat kongsikan dengan sekalian tentang hadis di atas bahawasanya di akhir zaman ini iaitu zaman yang kita tengah lalui ini orang hanya akan memberi salam pada sahabat yang dikenali sahaja bukan seperti yang dituntut dalam agama Islam supaya kita mengucapkan salam kepada semua orang Islam sama ada yang kita kenali atau yang kita tidak kenali. Keadaan ini menunjukkan bahawa hubungan kemesraan di kalangan kaum muslimin sudah amat berkurangan.

Begitu pula cara hidup akhir zaman iaitu zaman kita semestinya yang mana mendorong kaum perempuan untuk bekerja di luar rumah , terutama dalam perniagaan. Perempuan dijadikan daya tarikan pelanggan atau disebabkan kos kehidupan yang sangat tinggi sekarang sehingga gaji suami tidak cukup untuk memenuhi keseluruhan keperluan keluarga maka terpaksa la isteri juga bekerja. Maka keadaan ini akan mengakibatkan kerengganan hubungan kekeluargaan. Isteri tidak lagi taat kepada suami kerana dia juga memiliki wang dan mungkin lebih banyak daripada wang suaminya. Manakala anak-anak pula menjadi mangsa kehilangan kasih sayang ibubapa kerana mereka hanya menyerahkan pada orang gaji atau lebih dikenali di negara kita 'bibik'..

Selain itu, junjungan kita bersabda pada akhir zaman nanti akan wujud kecanggihan alat tulis, bahan cetak dan media massa. Kalau boleh rasanya tidak salah kalau saya katakan melalui jari saya ini bahawa akhir zaman yang nabi SAW maksudkan ialah zaman yang kita tengah tempuhi ini. Alat-alat ini semestinya digunakan untuk mengangkat martabat manusia namun apa yang berlau ialah sebaliknya. Segala alat-alat canggih pada zaman ini digunakan untuk pembohongan dan memutarbelitkan kenyataan dan mencemarkan martabat insan itu sendiri.

Nampaknya mata saya ini merayu-rayu pada hati saya untuk minta dilelapkan bersama anggota yang lain, jadi terpaksalah menamatkan perjalan pendek ini dengan menyimpulkan kepada para pembaca blog ini terutamanya bahawa berhati-hatilah dengan hidup yang penuh mencabar ini dengan tidak memutuskan hubungan silaturrahim sesama muslim dan pastikan lah apabila kita berkahwin nanti isu isteri bekerja tidak menjadi punca anak-anak terabai dan tidak mendapat perhatian kasih sayang kita sendiri dan tidak diberi pendikan agama yang sedalam-dalamnya kepada mereka kerana ilmu yang paling awal yang wajib dipelajari adalah mengenal Allah SWT dan semestinya terkandung dalam ilmu Tauhid..Semoga kita tergolong dalam golongan ini..aammiin..

Thursday, October 16, 2008

persoalan tentang puasa enam

Alhamdulillah ana panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi diberi peluang untuk merasai al-laila libasa dan an- nahara ma'asya. Ana tergerak hati menulis tentang persoalan puasa enam di sini sejurus terdengar berita dari kawan ana yang mana dia menceritakan bahawa di kampungnya sudah riuh rendah orang kampung bercakap tentang tidak perlu puasa sunat enam dalam bulan Syawal. Jadi ana kembali ke blog ana iaitu intiqal melalui cara ini. Sebagai permulaan, puasa enam ialah dilakukan pada bulan Syawal dan diharamkan puasa pada hari pertama Syawal. Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Muslim, no 1164). Sesiapa yang mempunyai kitab Sohih Muslim bolehlah merujuk di dalam kitab ini kerana ana juga menjadikan kitab ini sebagai rujukan untuk menjelaskan tentang puasa enam. Dalam hadis ini menunjukkan adalah jelas bagi mazhab imam Syafei, imam Ahmad, Imam Daud dan pengikut yang sepakat dengan mereka ini iaitu imam Syafei, Imam Ahmad dan Imam Daud bahawasanya sunat puasa enam dalam bulan Syawal.

Imam Syafei dan pengikutnya menyatakan bahawa hadis ini adalah sohih dan jelas, dan berkata ashabul imam Syafei bahawasanya lebih afdal sekiranya puasa enam ini dilakukan secara mutawaliyah iaitu berturut-turut sesudah hari raya puasa aidilfitri iaitu hari raya kedua,iaitu dua Syawal sehingga tujuh Syawal tetapi puasa berasingan adalah dibolehkan. Apa yang penting di sini adalah cukup puasa enam dalam bulan Syawal tidak kira diamalkan di awal, pertengahan ataupun akhir bulan Syawal. Maka terhasillah fadhilat almutabi'ah iaitu akan dapatlah fadhilat puasa enam di bulan Syawal. Di sini ingin ana terangkan bahawa tidak kira puasa berturut-turut selama enam hari ataupun bercerai di antara awal dan akhir; yang pentingnya adalah puasa enam tersebut cukup bilangannya enam hari dalam bulan Syawal tetapi perlu kembali kepada yang mana yang afdal sama ada berturut-turut ataupun tidak tetapi kita perlu tahu di sini bahawa fadhilatnya adalah sama. Ulama' menyatakan semua itu iaitu puasa enam berturut-turut ataupun tidak adalah seperti puasa setahun kerana satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan bertepatan dengan satu bulan puasa di bulan Ramadhan sama dengan puasa selama sepuluh bulan dan puasa enam di bulan Syawal pula adalah sama dengan puasa selama dua bulan. Jadi, apabila sepuluh bulan dicampur dengan dua bulan terhasillah dua belas bulan. Maka cukuplah ganjaran puasa selama dua belas bulan iaitu setahun. Ini untuk menunjukkan bahawa hadis ini adalah betul dan sohih.

Berhubung dengan satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan, ana ingin memberi contoh kenapa satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan?nak tahu?ana bawakan sebuah kisah tentang Saidina Ali RA dan Fatimah Az-Zahra yang mana pada satu ketika Fatimah sedang mengandung dan mengidam untuk makan buah epal, jadi apabila Fatimah memberitahu kepada Saidina Ali tentang apa yang diidaminya maka perasaan gelisah timbul di hati Ali, kerana terlalu sayangkan zaujahnya Fatimah, Ali terus ke pasar untuk membeli sebiji epal. Dalam perjalanan pulang ke rumahnya Ali telah berjumpa seorang lelaki tua yang menuju ke arahnya dan mengadu bahawa dia terlalu lapar dan akan mati sekiranya perutnya tidak diisi dengan sebarang makanan, sejurus itu kerana terlalu kesiankan pak cik tua tersebut, Ali membelah kepada dua bahagian epal yang dibelinya dan memberikan satu bahagian kepada pak cik tadi, selepas itu Ali meneruskan kembali perjalannya ke rumah. Tiba-tiba ketika hampir sampai di rumahnya, beliau telah bertemu sekali lagi seorang lagi lelaki tua yang datang menuju kepadanya lalu mengadu kelaparan. Ali yang terkenal dengan sifat pemurah lantas memberi satu bahagian epal yang tertinggal tadi kepada lelaki tua tersebut. Selepas itu Ali meneruskan perjalannya menuju ke rumahnya dengan tangan yang kosong. Setibanya Ali di depan pintu rumahnya dan mengetuk pintu lalu zaujah kesayangannya membuka pintu dengan wajah yang gembira dan sedikit tersenyum, lalu Ali pun pelik dan bertanya kepada Fatimah kenapa Fatimah tersenyum? Fatimah menjawab kepada suaminya Ali, ketika Ali keluar pergi ke pasar untuk mencari epal, rumah mereka berdua telah didatangi oleh seseorang lalu menyedekahkan sepuluh biji epal kepada isterinya, maka Ali teruslah masuk ke rumahnya dan melihat ada sembilan biji epal di dalam bekas, Ali bertanya kepada isterinya, ke mana perginya sebiji lagi? Isterinya menjawab bahawa dia telah memakannya tadi. Berdasarkan cerita ini, jelaslah bahawa satu kebaikan yang dilakukan akan mendapat sepuluh kali kebaikan. Maka ayat ini mempunyai kaitan yang agak rapat degan ganjaran puasa bulan Ramadhan dan puasa enam di bulan Syawal. Puasa sebulan Ramadhan mendapat ganjaran puasa di sepuluh bulan lain manakala puasa enam hari di bulan Syawal mendapat ganjaran puasa di dua bulan lain dengan kiraan satu hari sama dengan sepuluh hari, sepuluh hari didarabkan dengan enam hari maka terhasillah enam puluh hari dan sama juga dengan dua bulan. Keseluruhannya jika dicampurkan semua maka terhasillah dua belas bulan iaitu nisbahnya sama dengan setahun. Maka benar dan sohihlah hadis ini.

Berkaitan dengan dua mazhab lagi bahawa puasa enam ni adalah makruh, itu merupakan pendapat imam Malik dan imam Abu Hanifah yang mana mengatakan bahawa puasa enam di dalam bulan Ramadhan adalah makruh. Telah berkata imam Malik dalam kitab Muwatta' bahawa tidak seorang pun aku lihat di kalangan ahli ilmu berpuasa enam dalam bulan Syawal. Mereka ini iaitu ahli ilmu yang dikatakan oleh imam malik tadi mengatakan makruh kerana menolak sangkaan dari menyangka bahawa puasa enam ini adalah wajib.

Kesimpulan yang dapat ana tuliskan di sini adalah janganlah kita semua bertikam lidah tentang persoalan sama ada hendak melakukan atau tidak puasa enam ini sebab puasa enam ini adalah sunat,jadi dahulukan yang wajib dulu seperti puasa qada tetapi tidak salah kalau ingin menggabungkan atau tidak antara puasa sunat enam dan puasa qadar tersebut.

Monday, June 30, 2008

kaum rafidah (syiah)

Assalamualaikum kembali kepada para pengunjung yang masih mengunjungi taman blog ana yang dah lama ana tak update ni. Maklum la bulan ni kan bulan EURO 2008, jadi memang masa yang ada untuk jari bergandingan dengan otak ni terlalu sempit disebabkan masa cuti panjang selepas fatrah imtihan kedua banyak diisi dengan perkara yang tak berfaedah. Jadi, katanya tok guru Nik Aziz, perbaiki amalan dari masa ke semasa itu penting dalam kehidupan kita yang seharian nih. Sekarang ni hati rasa gembira sangat sebab pasukan pilihan menjuarai EURO 2008, ni la sebab yang membuatkan mood menulis datang kembali. Kali ini, nak timbulkan tentang yang majoriti dari kita dah tahu tentang ni, lebih-lebih lagi tentang SYIAH. Ana tak mahu panjangkan tentang tajuk ini sebab masing-masing memang dah tahu cuma ana datangkan dalam bentuk yang mudah difahami oleh orang yang tak pernah dengar tentang perkataan ini.

Syiah atau Shi'a ialah satu kefahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam. Penyelewengan ajaran Syiah boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu penyelewengan dari sudut akidah, syariah dan umum. Di antara penyelewengan dari sudut akidah ialah khalifah diwasiatkan secara nas, Imam adalah maksum, bersifat taqiyyah, penyanjungan yang terlalu tinggi terhadap Saidina Ali, mengkafirkan para sahabat Rasulullah, menuduh Abu Bakar, Umar, Uthman dan
Muawiyah sebagai 4 berhala Quraish serta pengikutpengikut mereka adalah musuh Allah.


Aliran Syiah Islam berpecah kepada cabang-cabang kecil. Tiga cabang yang utama pada masa kini mempunyai bilangan pengikut yang besar. Yang paling terkenal dan terbesar ialah golongan Syiah Imam Dua belas atau Ja'fariyah @ Imamiah Ithna Assyariyyah (Twelvers /(اثنا عشرية iṯnāʿašariyya) yang merangkumi 90% penduduk di Iran dan sebahagian besar penduduk Iraq. Golongan Syiah yang kecil lain termasuklah Ismailiyyah, Zaidiyyah dan Syiah Imam Bertujuh. Alawiyyah dan Druze juga menganggap diri mereka Syiah meskipun mereka tidak sentiasa diiktiraf oleh Syaih lain. Tarikat-tarikat Sufi beraliran Syiah termasuklah Tarikat Alevi, Bektashi Hamadani dan Fatimid. Dua puluh peratus dari penduduk Turki adalah mengikut Tarikat Alevi sementara Lubnan dan Siria pula mempunyai bilangan besar golongan Druze dan Alawi.

Perkataan Syiah (mufrad) disebut sebanyak empat kali dalam al-Qur'an dan ia memberi erti golongan atau kumpulan;pertama dalam Surah as-Saffat: 83-84, firman Tuhan yang bermaksud,"Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk Syiahnya (golongannya), ingatlah ketika ia datang kepada Tuhannya dengan hati yang suci". Kedua,dalam Surah Maryam: 69, firman Tuhan yang bermaksud,"Kemudian pasti Kami tarik dari tiap-tiap golongan (Syiatihi) siapa antara mereka yang sangat derhaka kepada Tuhan yang Maha Pemurah". Ketiga dan keempat adalah Surah al-Qasas: 15, firman Tuhan yang bermaksud,"Dan Musa masuk ke kota (Memphis) ketika penduduknya sedang lengah, maka didapatinya dalam kota itu dua orang lelaki yang berkelahi; yang seorang dari golonganya (Syiatihi) (Bani Israil) dan seorang (lagi) dari musuhnya (Syiatihi) meminta pertolongan kepadanya untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya".

Sementara itu, ada perkataan Syiah dalam Hadith Nabi SAW lebih dari tiga kali, antaranya disebut oleh Imam as-Suyuti dalam tafsirnya Durr al-Manthur, Beirut, Jilid 6, hal.379 - Surah al-Bayyinah, Nabi SAW bersabda:"Wahai Ali, engkau dan Syiah engkau (golongan engkau) di Hari Kiamat nanti keadaannya dalam redha dan diredhai", dan sabdanya lagi:"Ini (Ali) dan Syiahnya (golongannya) (bagi) mereka itulah yang mendapat kemenangan di Hari Kiamat nanti".


Dengan ini kita dapati bahawa perkataan Syiah itu telah disebutkan dalam al-Qur'an dan Hadith Nabi SAW. Yang dimaksudkan oleh kebanyakkan para ulama Sunni sebagai Syiah yang menyeleweng ialah golongan Syiah yang selain daripada Imamiyyah/Ja'fariyyah dan Zaidiyyah, yang diringkaskan sebagai Ghulat kerana mendewakan Ali. Golongan Ghulat juga ditolak oleh ulama-ulama Syiah Imamiyyah sendiri. Imam al-Ghazali dalam bukunya Mustazhiri menentang keras Syiah ghulat kerana ia mengandungi pengajaran Batiniah. Imam Ja'far as-Sadiq AS, generasi kelima keturunan Ali bin Abi Talib dan Fatimah Zahrah, pula menyatakan Syiah ghulat tidak boleh dikahwini dan diadakan sebarang urusan keagamaan kerana aqidah mereka bertentangan dengan al-Qur'an dan Hadith. Golongan Syiah Imamiyyah mengganggap Ja'far as-Sadiq AS sebagai imam keenam umat Islam.

5 perkara menjadi Rukun Kepercayaan atau Usūl al-Dīn bagi golongan Mazhab Syiah:

1- Tauhid - Bahawa Allah itu Satu
2- Nubuwwah - Bahwa Nabi dan Rasul yang ma'asum dilantik oleh Allah untuk mengajar and membimbing manusia. Muhammad s.a.w. merupakan Nabi dan Rasul terakhir.
3- Qiyamah - Bahwa Allah s.w.a. akan membangkitkan manusia untuk pengadilan di Hari Kiamat
4- Adalah - Bahwa Allah s.w.a. itu Adil
5- Imamah - Bahwa Allah s.w.a melantik orang-orang tertentu sebagai pemimpin umat manusia, yakni sebagai Imam. Umat manusia sentiasa ada seorang Imam dan hanya seorang Imam sahaja boleh wujud pada bila-bila masa. Sesetengah Rasul adalah Imam dan juga Rasul. Contohnya Nabi Ibrahim a.s. yang merupakan Nabi, Rasul dan Imam. Tidak semua imam adalah Nabi atau Rasul pula. Contohnya Imam Ali, yang bukannya seorang Rasul maupun seorang Nabi tetapi Imam.

Percanggahan dengan ajaran sunni adalah puak sunni kumpulan orang Islam yang berpegang kepada Al-quran, Al-Sunnah dan pendapat para Sahabat yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Penyelewengan dari sudut syariah ialah menolak ijmak ulama, menolak Qias, mengamalkan nikah mut'ah, menambah syahadah dan menolak hadis. Sementara penyelewengan umum ialah menziarahi kubur Saidina Husin ganjarannya syurga, menyeksa badan sempena 10 Muharram, menghina isteri-isteri nabi dan mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan. Penyelewengan pula adalah dari segi akidah seperti Khalifah diwasiatkan secara nas, Imam adalah maksum,Sayyidina Ali disama tarafkan dengan Allah, mengkafirkan para sahabat dan lain-lain.

Perbezaan Sunni dengan Syiah ialah :-

- Khalifah diwasiatkan secara nas

- Imam adalah maksum

- Berpura-pura

- Saidina Ali disama tarafkan dengan Allah S.W.T.

- Mengkafirkan para sahabat Rasullah

- Menghalalkan nikah Muta'h

- Menolak Ijmak Ulama'

- Menolak Qias

- Menambah syahadah

- Menolak hadith yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal-Jamaah

- Mengharuskan Jamak sembahyang dalam semua keadaan

- Islam bukan syarat wajib haji.

Sayyidina Ali RA berkata : "Dua macam orang binasa terhadap diriku, yakni orang yang mencintaiku dengan melampaui batas dan orang yang membenciku dengan melampaui batas."
Selain itu, Sayyidina Ali RA juga ada berkata : "Akan keluar pada akhir zaman suatu kaum yang mengaku Syi'ah (pengikut) kami. Mereka mempunyai julukan dan disebut dengan Rafidah. Jika kamu berjumpa dengan mereka bunuhlah mereka sebab mereka musyrik."

Diriwayatkan daripada Maimun bin Mahran daripada Ibnu Abbas dan daripada Nabi Muhammad SAW bahawa bahawa baginda bersabda : "Akan muncul pada akhir zaman kaum yang dijuluki Rawafid. Mereka menolak Islam dan memuntahkannya maka bunuhlah mereka. Sebenarnya mereka musyrik."

Para ulama' mengatakan bahawa sesiapa mencaci maki mereka ini (para sahabat) maka mereka adalah kafir. Manakala bagi sesiapa yang membenci mereka adalah maka dia adalah Rafidi. Menurut hikayat, Harun al-Rasyid membunuh mereka berdasarkan hadis ini. Amir al-Sya'bi berkata "Al-Rafd adalah tangga menuju zindiq. Maka tidaklah aku lihat seorang Rafidi melainkannya seorang zindiq.

Tuesday, April 22, 2008

imam mazhab kita

Assalamualaikum buat para pembaca budiman sekalian, sebelum ana memulakan perjalanan fannul maqal ana ni, ingin ana menyusun jari sepuluh dari kalangan para pembaca yang menziarahi blog ana ni kerana sudah agak lama ana tidak 'update' blog ana ni. Sejak ada zaujah yang bernama 'Dayun' ni, memang asyik keluar dengan dia je sampai dunia internet pun tidak sempat dijelajahi.

Sebenarnya hari ini ana ingin menulis tentang imam yang kita pegangi sebagai imam mazhab terutama sekali di Malaysia. Sebelum itu, kenal atau tidak siapakah gerangan tokoh dan pemikir Islam ini? Sedarkah kita bahawa kita telah menuntut ilmu yang ditinggalnya tetapi kita tidak mengenali dengan lebih mendalam siapakah pemilik sebenar ilmu tersebut yang telah berjasa dalam agama kita ini.

Di sini ana ingin menulis dengan lebih lanjut tentang siapakah tokoh ini. Ana akan datangkan dalam bentuk yang agak mudah iaitu yang pertama pengenalan beliau, seterusnya pendidikannya, sifat-sifat peribadinya, sumbangannya dalam bidang ilmu dan kata-kata hikmat dan nasihat yang telah ditinggalkan kepada kita sebagai hamba yang hidup pada zaman yang penuh pancaroba ini.

Pengenalan

Nama sebenar beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin al-'Abbas bin Uthman bin Syafi' bin a-Sa'ib bin Abid bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Muttalib bin Abdul Manaf. Dikenali sebagai Imam as-Syafi'e, berketurunan Qaraisy sama dengan keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Ibunya ialah as-Sayyidah Fatimah binti Abdullah bin al-Hassan bin Ali bin Abi talib. Beliau dilahirkan di Ghazzah, Palestin dalam daerah 'Asqalan pada tahun 150H / 767M, iaitu pada hari kematian Imam Abu hanifah r.a./ pada zaman pemerintahan Abu Ja'afar al-Mansur iaitu khalifah Abbasiyyah yang kedua.

Ayahanda dan bonda beliau berasal dari Kota Mekah dan mereka telah pergi berziarah ke Palestin. Setibanya di sana ayahnya meninggal dunia dan beliau masih dalam kandungan ibunya. Kemudian beliau dilahirkan di rumah seorang kerabatnya di Ghazzah. Setelah berusia dua tahun beliau telah kembali bersama ibunya ke Mekkah dan menjalani kehidupan yang amat sederhana. Sejak remaja lagi beliau dikenali sebagai Abu Abdullah, kerana anaknya bernama Abdullah dan beliau lebih dikenali dengan sebagai Imam as-Syafi'e. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam jumaat 29 rejab pada tahun 204H.

Pendidikannya.

Beliau hidup dalam keadaan yatim bersama ibunya. Walaupun demikian, semasa umurnya mencapai sembilan tahun beliau telah menghafaz al-Quran. Cintanya kepada ilmu pengetahuan sungguh mendalam. Beliau telah meninggalkan negeri Mekah menuju ke sebuah kampung bernama Banu al-Huzail dan di situlah beliau mempelajari Bahasa Arab dan sastera. Beliau mahir dalam bidang mengarang dan menyusun syair dan sajak. Gaya bahasa dan susunannya amat indah sekali. Beliau belajar ilmu feqah di Kota Mekah daripada Imam Muslim Ibnu Khalid az-Zanji, seorang ulama dan mufti di Kota Mekah. Ilmu hadis pula beliau belajar dengan Abu Sufian bin 'Uyainah, seorang ulama dan ahli hadis yang terkemuka di Kota Mekah. Beliau juga mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan daripada beberapa orang para ulama di Masjidil Haram Mekah.

Selain itu, beliau sangat pintar dan rajin pula, serta mempunyai beberapa keistimewaan seperti :

1- ketika berumur sembilan tahun beliau telah dapat menghafal al-Quran keseluruhannya dengan lancar.

2- ketika berusia sepuluh tahun beliau telah menghafal dan memahami kitab al-Muwatta' karangan Imam Malik.
3- ketika berusia lima belas tahun beliau telah menjadi guru besar dan mufti untuk mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjidil Haram.


Beliau juga sangat mengutamakan pengetahuan dan displin. Beliau menjadikan malamnya menjadi tiga bahagian utama :

1~ 1/3 untuk menulis ilmu pengetahuan
2~ 1/3 untuk sembahyang dan ibadat
3~ 1/3 untuk tidur dan istirehat


Sifat-sifat Peribadinya.

Beliau adalah seorang yang tinggi, kacak dan gagah. Kulitnya putih, lidahnya petah berbicara dan mempunyai suara yang menarik dan menawan hati. Ramai di kalangan ulama menganggap beliau merupakan mujaddid pada kurun ke-2 selepas Umar bin Abdul Aziz sebagai mujaddid pada kurun ke-1. Ahli sejarah juga pernah meriwayatkan suatu hadis mengenai kebesaran beliau, antara lainnya ialah, "Seorang alim berbangsa Quraisy, ilmu pengetahuannya akan memenuhi permukaan bumi ". Sebahagian ulama memaksudkan hadis itu adalah ditujukan kepada beliau. Beliau juga merupakan seorang yang sederhana dalam segala hal, sama ada pada pakaian atau makanan. Apabila beliau menerima hadiah, maka ketika itu juga beliau memberikan hadiah itu kepada orang yang berhajat.

Kegiatan dan kegigihannya mencari ilmu tidak pernah pudar dalam hidupnya. Beliau telah mengembara ke Madinah, Iraq, Kuffah, Parsi dan Yaman kerana tujuan tersebut. Beliau juga telah menolak tawaran Harun al- Rasyid untuk menjadi qadi di Yaman kerana katanya :" Saya tidak berhajat hendak mengubungkan kekeluargaan dan persaudaraan di Mesir."

Sumbangannya Dalam Bidang Ilmu

Beliau memberi sumbangan yang sangat besar dalam bidang perundangan Islam. Beliau dikenali sebagai ahli ijtihad yang mahir. Pendapat beliau semasa di Iraq, dikenali sebagai kaul qadim dan pendapat beliau semasa di Mesir dikenali sebagai kaul jadid. Antara beberapa kitab karangan beliau dalam berbagai bidang ialah ar-Risalah, al-Umm, Ikhtilaf al-Hadis, al-Musnad, Kitab al-Fiqh, Kitab al-Mukhtasar al-Kabir, Kitab al-mukhtasar al-Soghir, al-Jami' al-Kabir dan al-Jami' al-Soghir. Di samping itu banyak lagi kitab-kitabnya di bidang tafsir al-Quran, akhlak dan sebagainya.

Beliau mempunyai ramai murid dan sahabat yang terkenal seperti Imam Ahmad bin Hanbal as-Syaibani, Imam Abu Ibrahim Ismail bin Yahya al-Muzni, Imam ar-Rabi' bin Sulaiman bin Abdul Jabbar al-Marawi, Imam Abu Thaur, Ibrahim bin Khalid al-Yaman al-Kalbi al-Baghdadi dan Imam Hassan bin Muhammad bin Sobah az-Za'farani al-Baghdadi.

Saturday, January 12, 2008

mendahulukan makan atau sembahyang?

Sebelum jari jemari ana memulakan perjalanannya di atas keyboard berjenama Genius ini, marilah sama-sama kita tanamkan azam baru dalam diri kita sempena bermulanya tahun baru hijrah yang baru membuka tirainya beberapa hari yang lepas. Bila disebut perkataan azam ni, dalam diri saya ni sudah banyak azam yang tidak di qador, mungkin tahun ni perjuangan qodor akan berlaku..huhu.

Dengan lafaz bismillah saya mulakan perjalanan tulisan saya pada pagi yang berbahagia ini. Moga dengan rahmatnya kita semua diberikan kejayaan di dunia dan di akhirat. Kali ini saya ingin menghadirkan satu tajuk yang biasa berlaku dalam kehidupan kita seharian. Makan atau sembahyang? yang mana kita mulakan dahulu?jika terdengar azan dan pada masa yang sama terhidang makanan di hadapan kita, apa yang kita perlu buat? Kalau mengikutkan nafsu manusia dalam diri kita ini, semestinya kita mendahulukan makan semata-mata, betul tak?

Jika dihid
angkan makanan di hadapan seseorang dan dikerjakan sembahyang, tidak salah jika seseorang itu menyelesaikan makan terlebih dahulu, kemudian mengerjakan sembahyang jika tidak takut ketinggalan waktu. Sebab, jika mengerjakan sembahyang sesudah dihidangkan makanan sebelum ia makan, maka hatinya akan sibuk memikirkan tentang makanan yang terhidang. Jika seseorang itu sedang makan dan hatinya sibuk memikirkan sembahyang maka itu lebih baik daripada mengerjakan sembahyang sedangkan hatinya sedang memikirkan makanan.

Di sini, saya datangkan riwayat daripada Ibnu Abbas RA bahawa waktu sembahyang telah tiba sedangkan makanan telah dihidangkan, maka beliau berkata : "Kita mulai dengan an-nafsul lawaamah, yakni makan terlebih dahulu." Satu lagi riwayat yang saya hadirkan di sini diriwayatkan oleh Nafi' dariapada Ibnu Umar dan daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda : "Jika seseorang daripada kamu menghadapi makanan, janganlah ia terburu-buru hingga selesaikan keperluannya dari makanan itu, meskipun telah diserukan iqamat untuk sembahyang."

Dalam riwayat lain juga, Abdullah bin Arqam dan daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda : "Jika seseorang daripada kamu hendak mengerjakan sembahyang
dan ia ingin buang air, maka mulai dengan buang air"

Jadi, jelaslah bagi kita semua yang mana kita patut kita dahulukan antara makan dan sembahyang. Kita patut tahu tentang akan mendahulukan yang terlebih penting dari yang penting. Solat adalah penting dan makan juga penting tetapi adakah Allah akan menerima ibadah sembahyang hambanya yang hatinya tidak khusyu'?
Sama-samalah kita fikirkan dan renungi bersama. Sekian untuk permulaan hijrah.