Friday, October 26, 2007

sedarilah insan..

Gejala mungkar dan maksiat yang melanda ummatku dewasa ini telah sampai ke tahap yang mencemaskan dan membimbangkan hati dan perasaanku walaupun aku berada di Hayyu Sabi' tetapi aku turut merasai bahang keresahan ini. Banyak pihak tidak mengira dari mana-mana golongan menyuarakan kebimbangan terhadap keruntuhan moral, terutama di kalangan generasi assyabab yang mana telah sampai ke tahap yang amat mengerikan. Hati kecilku juga turut merasakan apakah akan terjadi kepada negaraku Malaysia pada dua puluh tahun akan datang??aku bertanya di dalam hati...

Gejala negatif yang menular di tanah airku itu kemungkinan besar hasil dari peniruan gaya hidup mat salleh Barat yang disalurkan secara meluas melalui media cetak dan terutamanya pada zaman moden sekarang iaitu dengan saluran media elektronik. Golongan remaja yang mempunyai daya tahan yang kurang untuk melawan pengaruh mungkar, menjadi mangsa kegelojohan media yang mempunyai matlamat mencari keuntungan duniawi melalui iklan yang mengeksploitasi tubuh wanita dan penajaan barangan sesuatu program yang mana barangan tersebut adalah barangan muqottoah iaitu barangan boikot. Meskipun pelbagai pihak tidak mengira dari parti pembangkang sendiri seperti Parti Islam Semalaysia(PAS) cuba untuk melaksanakan program yang bercorak keagamaan, namun ia terlalu kecil jika dibandingkan dengan program maksiat yang dianjurkan pihak swasta dan kerajaan Malaysia itu sendiri iaitu kerajaan Hadhari yang diagung-agungkan di Malaysia sekarang. Ana boleh ibaratkan program yang pihak kita iaitu parti pembangkang khususnya di negeri kelahiran ana di Kelantan ingin dan telah lakukan seperti setitik penawar di tengah lautan racun, betul kan wahai sahabat-sahabatku di Mesir dan juga di Malaysia?? Semua pihak sedar bahawa faktor utama yang menjerumuskan generasi remaja ke dalam kandang maksiat adalah disebabkan ketandusan pegangan hidup yang berlandaskan aqidah Islam itu sendiri. Mungkin ia berpunca dari pengabaian ibubapa memberikan pengetahuan, didikan agama, didikan rohani dan tidak kurang juga kelemahan sistem pendidikan negara tidak kira pengajian di sekolah rendah, menengah dan juga sekarang ini adalah di institut pengajian tinggi sehinggakan pihak kerajaan sudah boleh masuk campur dalam pilihan raya kampus di sesetengah universiti. Di manakah kebebasan kita sebagai mahasiswa? Di Mesir juga turut menjadi mangsa kerajaan Malaysia yang mana telah menghantar setiap pegawai negeri di setiap rumah negeri terutamanya di kawasan Kaherah ini seperti Rumah Negeri Selangor dan Rumah Negeri Sembilan. Bagi ana, apakah maknanya seseorang mahasiswa itu jika disekat kebebasan untuk berpersatuan di dunia mahasiswa??Tepuk dada dan tanyalah iman kita semua termasuk ana juga. Apa yang paling menyedihkan ana juga tidak kurang juga kelemahan sistem pendidikan negara yang meletakkan mata pelajaran agama sama nilainya dengan mata pelajaran lukisan. Kesannya adalah para pelajar tidak berminat dengan mata pelajaran agama. Ana di sini amat bersyukur kerana mempunyai sekeping hati yang telah dilemparkan di Perlembahan Nil ini dalam meniti arus menambah ilmu pengetahuan dalam bidang agama walaupun sekarang ilmu ana hanyalah boleh di samakan dengan kulit bawang. Sekian.

Thursday, September 13, 2007

kemuliaan bahasa arab

Untuk pengetahuan diri ana dan diri kita semua bahasa Arab mempunyai kelebihan berbanding bahasa-bahasa lain. Sesiapa mempelajarinya atau mengajarkannya kepada orang lain, maka pahalalah balasannya. Sebab, Allah SWT menurunkan al- Quran dalam bahasa Arab. Oleh kerana itu, sesiapa yang mempelajarinya, dia boleh memahami zahir al-Quran dan makna hadis Rasulullah SAW.

Ibnu Buraidah meriwayatkan dari Umar RA bahawa beliau berkata: "Sesiapa yang belajar bahasa Parsi maka dia telah menipu dan siapa menipu, hilanglah harga dirinya."

Al-Zuhri menegaskan, "Bahasa penghuni syurga adalah bahasa Arab dan bahasa penghuni neraka adalah bahasa Hindustan."

Diriwayatkan pula dari Umar RA bahawa beliau berkata: "Hendaklah kamu memahami bahasa Arab.

Hasan al-Bashri pernah ditanya tentang orang yang mempelajari bahasa Arab supaya dapat bercakap baik dan memahami bacaannya. Al-Hasan menjawab: "Biarlah dia mempelajarinya. Sebab, ada orang yang membaca ayat dan menyimpang dari maksudnya hingga bacaannya rosak." Umar RA mendengar dua orang lelaki pada masa tawaf bercakap tidak dengan bahasa Arab. Kemudian beliau berkata kepada kedua-duanya: "Berusahalah kamu mempelajari bahasa Arab."

Di sini, ana ingin mengatakan bahawa tidak berdosa bercakap dengan bahasa selain dari bahasa Arab. Rasulullah SAW juga bercakap menggunakan bahasa Parsi. Sufyan juga menyatakan bahawa orang ramai bercakap sesama mereka pada hari kiamat sebelum masuk ke syurga dengan bahasa Suryani tetapi setelah masuk syurga mereka bercakap dengan bahasa arab.

Jadi, jelaslah bagi kita semua tentang kelebihan bahasa Arab itu sendiri, banyak faedahnya yang akan kita perolehi sekiranya mempelajari bahasa Arab. Ana juga ingin menyatakan di sini bahawa bahasa Arab merupakan bahasa yang mempunyai kemuliaan berbanding dengan bahasa lain.

Wednesday, September 5, 2007

kewajipan menuntut ilmu..

Sebagaimana yang kita tahu, saban tahun semakin ramai pelajar-pelajar dari malaysia datang ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran mereka di Universiti Azhar dalam pelbagai bidang agama seperti kuliah Bahasa Arab, Syariah, Usuluddin, Pengajian Islam Dan Bahasa Arab, Qiraat dan juga tidak lupa kepada pelajar-pelajar perubatan yang membanjiri ardul kinanah ini dan yang menghiasi dunia ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah di sini. Jadi, masing-masing sudah maklum dan tahu bahawa kedatangan kita di sini adalah untuk menuntut ilmu dan seharusnya kita sendiri mengetahui bahawa wajibnya menuntut ilmu bagi setiap individu yang mengaku sebagai khalifah Allah SWT di dunia ini yang semakin hari semakin berusia.

Kita semua sudah sedia maklum bahawasanya menuntut ilmu adalah wajib atas tiap-tiap orang Islam, tidak mengira lelaki ataupun perempuan, sesuai dengan kadar yang diperlukan seseorang sama ada dalam urusan dunianya atau urusan agamanya. Ia mesti mengetahui hukum hakam wudhuk, sembahyang dan hal-hal lain yang berkaitan dengan kehidupannya.
Adapun yang selain itu tidak wajib. Namun, jika ia mempelajari hal-hal yang selain itu tentulah lebih baik dan jika ia meninggalkannya maka tidaklah sampai berdosa. Menuntut ilmu yang diperlukan adalah wajib hukumnya kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Maka bertanyalah kepada orang yang berilmu (ulama' ilmuan) jika kamu tidak mengetahui. " ( surah al-Nahl: 43)

Abdullah Bin Mas'ud RA berkata : "Tuntutlah ilmu sebelum ia dicabut dengan meninggalnya para ulama'. Tuntutlah ilmu sebab di antara kamu tidak akan mengetahui apakah kelak ia memerlukannya."

Selepas itu orang ramai bercakap tentang mencari tambahan ilmu. Sesetengah daripada mereka mengatakan bahawa apabila memang menuntut ilmu sekadar yang diperlukannya, wajarlah ia mengamalkannya dan tidak menuntut tambahan. Sesetengah yang lain berpandangan bahawa apabila seseorang sibuk menuntut ilmu tambahan, hal tersebut lebih baik setelah ia memenuhi kewajipan-kewajipannya. Pendapat ini lebih sahih.

Dan dalam ayat lain ada menyebut yang bermaksud: "Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu), nescaya kami bukan termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala." (surah al-Mulk: 10)
Allah SWT memberitahukan bahawa mereka menjadi penghuni neraka kerana kejahilan mereka.

Diriwayatkan daripada Ali Bin Abi Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu hukumnya wajib bagi tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan,"

Hasan al-Bashri berkata: "Termasuk amal adalah seseorang yang menuntut ilmu lalu mengajarkannya kepada orang ramai."

Abdullah Bin Abbas RA juga mengatakan bahawa menuntut ilmu sesaat pada malam hari lebih disukai Allah daripada sembahyang pada malam tersebut.

Auf bin Abdullah menceritakan seorang lelaki yang datang kepada Abu Zarr al-Ghifari, lalu berkata: "Aku mahu menuntut ilmu dan takut menyia-nyiakannya serta tidak mengamalkannya, " kata lelaki tersebut kepada Abu Zarr. "Sesungguhnya engkau lebih baik menjadi pemimpin dengan ilmu daripada menjadi pemimpin dengan kejahilan, " tegas Abu Zarr. Selepas itu lelaki tersebut pergi kepada Abu Darda dan bertanya kepadanya: "Semua manusia dibangkitkan dari kubur mereka dalam keadaan yang berlainan; orang alim dalam keadaan alim dan orang jahil dalam keadaan jahil, " Abu Darda menjelaskan. Selanjutnya ia pergi kepada Abu Hurairah untuk menanyakan hal yang sama. "Kesia-siaan yang paling penting ialah meninggalkan untuk menuntut ilmu. " jawab Abu Hurairah.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW : "Amal apakah yang paling utama? "
"Ilmu," jawab Rasulullah SAW.
Ia brtanya untuk kedua dan ketiga kalinya. Rasulullah SAW tetap menjawabnya seperti jawapan yang pertama. "Ya Rasulullah, mudah-mudahan Allah SWT memberi kesejahteraan kepadamu," kata lelaki tersebut.
"Aku bertanya kepadamu tentang amal," sahutnya lagi. "Bukankah Allah SWT tidak akan menerima amal kecuali dengan ilmu?" tegas Rasulullah SAW.

Secara keseluruhannya, bagi kita ummat Islam adalah amat penting untuk kita semua sama-sama berlumba dalam menuntut ilmu di bumi Mesir ini dan walau di mana kita berada terutamanya dalam memperdalami ilmu agama. Ana menggunakan ilmu agama di sini kerana ia adalah ilmu yang teramat penting untuk memastikan perjalanan kita sebagai khalifah Allah selamat hingga ke akhirat nanti. Ingatlah pesan dari ana, amalan yang tidak berdasarkan ilmu adalah seperti pokok yang tidak berbuah.

Monday, September 3, 2007

larangan penting..

Sepertimana yang kita tahu, kewujudan kita di atas permukaan bumi ini tidak lain dan tidak bukan untuk menjadi khalifah Allah. Jadi, Allah bukan menyuruh kita melakukan amar maaruf sahaja, bahkan mencegah kemungkaran dan beriman kepadaNya.

Di sini ana ingin memberitahu larangan yang patut kita ketahui yang mungkin agak jarang kita ketahui dan dengari dari mana-mana sumber. Lazimnya kita semua hanya menekankan suruhan Allah sahaja tetapi laranganNya kita tidak endahkan.

Antara larangan penting yang patut kita ketahui dalam rutin harian kita adalah seperti dilarang bercakap di lima tempat, yakni di belakang jenazah, ketika membaca al-Quran, ketika mendengarkan khutbah, di majlis zikir, di tempat buang air dan juga ketika bersetubuh.

Selain itu juga, dilarang mendengar lima perkara, iaitu gurau senda dan nyanyian, ratapan daripada perempuan tukang ratap, perbualan yang batil dan tidak berguna, mendengar dua orang yang saling berbisik dan mendengar perbualan di pintu orang juga merupakan larangan yang patut kita jauhi.

Larangan penting lain yang patut kita ketahui yang merupakan antara amalan ahli marifah dan orang sufi adalah dilarang melihat di lima tempat, iaitu dalam sembahyang melihat ke kanan dan ke kiri. di pintu rumah-rumah orang, melihat kepada aurat manusia di bilik mandi dan lainnya, melihat kepada orang yang di atasnya dalam urusan dunia dengan meginginkannya dan melihat kepada orang yang di bawahnya dalam urusan agama.

Dalam kehidupan kita juga, kita tidak pernah lari dari ketawa sesama kita tetapi kita patut ketahui ada juga larangan yang melarang kita ketawa di lima tempat iaitu, ketika berada di tempat jenazah, di tanah perkuburan, di rumah orang yang mendapat musibah, ketika membaca al-Quran dan ketika menyebut nama Allah SWT. Kita patut sedar, kata orang bahawa ketawa tanpa ada sebab yang lucu adalah seperti orang gila.

Antara larangan lain yang diamalkan oleh ahli sufi adalah tidak berpuasa pada lima hari berikut iaitu pada hari raya pertama Aidil Fitri dan Aidil Adha dan tiga hari sesudahnya. Dilarang juga sembahyang sunat (mutlak-pent.) dalam lima saat iaitu sesudah sembahyang Asar hingga sembahyang Maghrib dikerjakan, sesudah terbit fajar kecuali dua rakaat fajar, sesudah sembahyang fajar hingga matahari naik dan ketika matahari berada di tengah serta ketika khutbah Jumaat.

Larangan terakhir yg ana ingin tuliskan di sini adalah dilarang sembahyang fardhu pada tiga masa, yakni ketika matahari naik, ketika matahari berada di tengah dan ketika matahari terbenam kecuali sembahyang Asar..

Saturday, September 1, 2007

ada kah boleh bergurau senda?

Sepertimana yang kita tahu, dalam kehidupan kita seharian kita tidak akan lekang dari melakukan kesilapan demi kesilapan yang mana kita sendiri pun tidak menyedari akan hakikat ini. Begitu juga dalam senda gurau dengan orang di sekeliling kita, adakah kita perasan atau pun tidak, orang di sekeliling kita tidak terasa dengan gurauan kita?? Adakah dibolehkan bergurau senda dalam Islam??
Bagi ana sendiri, tidak salah bergurau jika tidak bercakap dengan perkataan yang keji dan menimbulkan dosa atau bertujuan membuat orang tertawa sebab hal yang tersebut adalah tercela. Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda : "Sungguh aku tidak bergurau dan aku tidak mengatakan, kecuali kebenaran."

Diriwayatkan daripada Anas bahawa seorang lelaki meminta alat angkutan dari Rasulullah SAW. Maka baginda menjawab: "Aku akan mengangkutmu di atas anak unta." Orang tersebut bertanya : "Apa yang aku boleh perbuat dengan anak unta? " Rasulullah SAW menjawab. " Bukankah unta hanya untuk beranak unta?"

Diriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah SAW bergaul dengan kami dan berkata kepada saudaraku : " Wahai Abu Umair, apa yang dilakukan si burung kecil? "

Di sini ana bawakan satu cerita yang bagi ana sendiri amat terkenal di kalangan penuntut ilmu agama iaitu Diriwayatkan bahawa seorang perempuan tua berkata kepada Rasulullah SAW : "Doakan kepada Allah SWT agar memasukkan aku ke dalam syurga." Rasulullah SAW menjawab : "Sesungguhnya syurga tidak dimasuki oleh perempuan tua." Maka perempuan tua tersebut menangis. Kemudian Aisyah berkata : "Engkau telah membuatnya sedih." Maka Rasulullah SAW membacakan ayat yang bermaksud : " Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung. Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan penuh cinta lagi sebaya umurnya." (surah al-Waqi'ah : 35-37)
Akhirnya perempuan tua tersebut merasa senang.

Ana ingin selitkan di sini untuk akhawat yang mana di dalam syurga juga terdapat bilangan akhawat yang melebihi kaum ikhwah dalam neraka. Adakah anda tau kenapa??Jawapannya adalah kerana mereka ini tidak tau berterima kasih kepada suami mereka. Jadi, pesan ana adalah kepada mereka yang berkahwin terutamanya kaum Hawa, jadilah isteri yang solehah...

Diriwayatkan daripada Hammad bin Salamah daripada Abu Ja'far al-Khatmi bahawa Rasulullah SAW berkata kepada seorang lelaki yang berkuniyah Abu Umar : "Wahai Ibnu Umar." Kemudian orang tersebut menyentuh kemaluannya seraya berkata : "Ya Rasulullah, aku tidak melihat diri aku kecuali sebagai seorang suami seorang perempuan."
Maka Rasulullah SAW menjawab : "Sesungguhnya aku hanya bergurau denganmu."

Akhir sekali, jelaslah bagi kita semua tentang larangan bergurau dalam Islam, bergurau dibolehkan asalkan tidak berlebih-lebih, ana juga menasihati diri ana sendiri dan juga kalian bahawa janganlah terlalu banyak bergurau kerana ia dapat menghilangkan kewibawaan kita sebagai penuntut ilmu terutamanya bagi mereka yang menuntut ilmu agama di Mesir ini. Bergurau juga akan membuatkan diri kita semua tercela di kalangan orang-orang yang soleh serta akan membuat orang-orang jahil berani kepada kita semua dan juga akan menganggap kita semua ini kurang akal disebabkan terlalu banyak bergurau. Selain itu juga, janganlah bergurau dengan orang yang tidak bergaul denganmu dan dengan orang yang kita tidak ketahui akhlaknya. Tidak salah sekiranya kita ingin bergurau dengan orang yang berada di sekeliling kita asalkan tidak melakukan dosa dan tidak berlebih-lebihan. Sebab,sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan. Jadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan kita..

Wednesday, August 29, 2007

minat persatuan?


Sepertimana yang kita sedia maklum, di setiap tempat mahu tidak mahu mesti wujud orang yang berpersatuan, tetapi adakah betul cara kita berpersatuan? adakah kita mengikut cara yang sebenarnya? Di sini ana sebagai hamba yang begitu kerdil di sisi Allah ingin sedikit sebanyak berkongsi dengan sahabat sekalian tentang suruhan bersatu dalam satu persatuan.

Di Mesir ni kita dapat lihat pada dewasa ini semakin lama semakin banyak persatuan baru yang timbul umpama cendawan yang baru tumbuh selepas hujan turun,tidakkah begitu wahai kawan-kawan? Di sini saya bukan nak melarang kawan-kawan semua berpersatuan tetapi cuma ingin menasihati tentang suruhan bersatu dalam persatuan yang ada di bumi Mesir ni.

Ibnu Abbas RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW: "Seburuk-buruk manusia adalah yang makan sendirian, mencegah kebaikannya dan memukul sahayanya. " .Disebutkan dalam hadis bahawa Rasulullah SAW melarang kaum lelaki tidur di rumah sendirian dan Baginda bersabda: "Sesungguhnya syaitan bersama satu orang dan lebih jauh dari dua orang. "

Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW: "Seorang penunggang ditemani seorang syaitan, dua penunggang ditemani dua orang syaitan, sedangkan tiga penunggang adalah rombongan penunggang semata-mata. " Said bin al-Musayyab juga meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda: "Syaitan memperhatikan satu orang dan dua orang. Jika seramai tiga orang, syaitan tidak akan memperhatikan mereka. "

Ini adalah larangan kasih sayang dan bukan larangan pengharaman. Sebab satu orang mudah diserang musuh, sedangkan sekelompok orang saling tolong menolong. Contoh yang ana boleh bagi kat sini adalah cuba bayangkan kalau KPKM tiada??mesti kedutaan dapat ambil alih pengurusan di Rumah Kelantan Baru..ni contoh je ek? Adapun jka orang itu merasakan dirinya aman maka tidak ada masalah dengannya. Sebab Rasulullah SAW mengutus Dihyah al-Kalbi sendirian kepada kaisar raja Romawi.

Kata sesetengah orang bahawa persatuan menimbulkan kekuatan dan perpecahan menimbulkan kebinasaan. Allah Ta'ala berfirman tentang kisah Musa AS dan menceritakan tukang sihir: "Maka himpunkanlah segala daya (sihir) kamu sekalian, kemudian datanglah dengan berbaris. " (Surah Taha:64)

Firaun menyuruh mereka bersatu.
Seorang ahli tafsir mengatakan: "Bersatulah supaya kamu menang dan janganlah kamu berselisih supaya kamu tidak kalah. "

Kata orang pula bahawa pendapat satu orang seperti dawai yang tipis, pendapat dua orang seperti dua helai benang yang kuat dan pendapat tiga orang seperti tali yang tidak terputus.

Jika sekelompok orang dalam perjalanan maka dua orang tidak boleh berbisik di hadapan orang ketiga kerana dapat menyinggung perasaannya. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Rasulullah SAW : "Jika mereka seramai tiga orang, janganlah dua orang berbisik di hadapan orang ketiga. "

Tuesday, August 28, 2007

sape suke cium kanak-kanak?..

Tidak salah sekiranya seseorang mahu mencium anak kecil dan ia mendapat pahala sebagai ungkapan kasih sayang kepada anaknya. Maka kalau korang nak tau sunat la mencium anak kecil ni,ana pun diklafikasikan dalam golongan yang memang suka sangat cium anak kecil ni. Rasulullah SAW ada bersabda: "Sesiapa tidak menghormati orang tua antara kita dan tidak menyanyangi anak kecil maka ia bukan termasuk golongan kami". Tapi kan ada juga setengah orang tu kan,tak tahu la sape,dorang ni kalau suka kat anak kecil pon suka kat anak sendiri je,anak orang lain dorang wat tak peduli je,faham kan mksud ana??hehe

Diriwayatkan daripada Muhammad Ibnu al-Aswad daripada ayahnya Aswad bin Khalaf bahawa Rasulullah SAW mengambil Hasan, lalu menciumnya. Ke
mudian baginda mengadap para sahabatnya, lalu berkata: "Sesungguhnya anak menimbulkan sifat bakhil, penakut, jahil dan kesedihan. "

Diriwayatkan daripada Asy'ath bin Qais al-Kindi daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda telah pun bersabda: "Sesungguhnya mereka (anak-anak) menimbulkan sifat bakhil, kesedihan dan sifat penakut. Dan sesungguhnya mereka adalah buah hati dan penyejuk mata. "

Diriwayatkan daripada Umar RA bahawa ia menunjuk seorang lelaki untuk melakukan suatu pekerjaan. Kemudian orang tersebut masuk kepada Umar dan melihatnya mengambil seorang anaknya dan menciumnya. Orang tersebut berkata: "Sebenarnya aku mempunyai anak-anak, tetapi tidak pernah saya cium seorang pun daripada mereka. Maka Umar RA berkata: Engkau tidak mempunyai rasa kasih sayang kepada anak kecil maka kasih sayangmu kepada orang tua lebih sedikit. Kembalikan tugas yang kami berikan. "Maka Umar memecatnya.


Ada yang mengatakan bahawa ciuman ada lima jenis, antaranya ialah ciuman cinta, ciuman sayang, ciuman kasih, ciuman penghormatan dan ciuman syahwat. Ciuman cinta adalah ciuman kedua-dua ibu bapa kepada anak-anaknya. Ciuman sayang ialah ciuman anak pada kepala kedua-dua ibu bapanya. Ciuman kasih ialah ciuman saudara perempuan pada dahi saudara lelakinya. Ciuman syahwat ialah ciuman suami pada mulut isterinya.

Sesetengah ulama' tidak menyukai ciuman orang-orang lelaki di antara sesama mereka pada tangan dan wajah. Mereka berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW bahawa baginda melarang mencium dan berpelukan (di antara sesama lelaki).

Sesetengah ulama' membolehkan hal itu. Disebutkan dalam yang lain bahawa Rasulullah SAW menyambut Ja'far bin Abu Talib RA ketika pulang dari Habasyah, lalu memeluknya dan mencium dahinya.

Diriwayatkan daripada para sahabat Rasulullah SAW bahawa mereka jika datang dari perjalanan saling berpelukan satu sama lain dan saling mencium.

Diriwayatkan daripada al-Bari' bin 'Azib daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda telah pun bersabda: "Carilah anak sebab ia adalah buah hati dan penyejuk mata, dan janganlah kamu mengahwini perempuan tua yang mandul. "


Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda telah pun bersabda: "Anak-anak adalah penggalan hati kita. "


Dah habis pun apa yang ana nak sampaikan,hehehe...tapi sebelum itu sebelum ana habiskan,ana nak beritahu kenapa ana menulis pasal ini,tujuannya adalah kerana melihatkan semakin ramai bayi yang dilahirkan dari fadam dan madam di Mesir ni,maka tak salah kalau sekiranya kita berbuat baik dengan bayi-bayi mereka ni,jangan salah faham pula kepada mereka yang berkahwin awal di sini,eloklah kita sama-sama bersangka baik kepada fadam-fadam dan madam-madam di sini. Sebelum itu ana akhiri dengan satu madah....

Sesiapa ingin melihat hatinya

berjalan di atas bumi

hendaklah ia melihat anaknya.